Wednesday, October 14, 2026

TEROKA DUNIA ILMU DI PERPUSTAKAAN!

 

Si cilik Hebat Inovasi sesi pagi sempat bergambar di bahagian luar perpustakaan.

Jom Teroka Dunia Ilmu! Lawatan Si Cilik Hebat ke Perpustakaan Pasir Gudang 

Alhamdulillah, dari 1 hingga 7 Oktober 2026, si cilik hebat MyBistari berpeluang menyertai lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Awam Pasir Gudang. Lawatan ini merupakan salah satu pengalaman istimewa yang dirancang khas buat murid-murid 6 tahun sebagai kenangan manis sebelum melangkah ke alam persekolahan yang baharu.

Namun, kita hanya mampu merancang, Allah S.W.T. sebaik-baik perancang. Lawatan yang sepatutnya diteruskan sehingga 8 Oktober 2026 terpaksa ditangguhkan berikutan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) akibat jerebu yang tinggi. Semua institusi pendidikan diarahkan tutup pada tarikh tersebut. Dua cawangan yang masih belum berkesempatan menyertai lawatan ini ialah TH Pintar, Taman Rinting dan TH Minda, Taman Kota Puteri.

Penglibatan lawatan ini dikhaskan buat murid-murid 6 tahun kerana tahun ini merupakan tahun terakhir mereka bersama MyBistari. Kami berbesar hati untuk memberikan pengalaman yang bermakna dan mencipta sebanyak mungkin kenangan indah buat si cilik hebat sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan seterusnya.

Buat adik-adik 4 dan 5 tahun, jangan bersedih ya! Insya-Allah, jika diberikan peluang untuk terus bersama MyBistari sehingga berusia 6 tahun nanti, adik-adik juga berpeluang merasai pengalaman yang sama. Sabar menanti giliran masing-masing!

Setibanya di Perpustakaan Awam Pasir Gudang, kedatangan si cilik hebat disambut mesra oleh staf perpustakaan. Sebelum memulakan aktiviti, murid-murid diberikan taklimat tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang berada di perpustakaan. Mereka turut dibawa menjelajah ke beberapa kawasan perpustakaan untuk mengenali suasana serta kemudahan yang tersedia.

Bukan sekadar melihat buku tersusun di rak, malah si cilik hebat turut melakukan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan. Mereka berpeluang melakukan senaman mengikut rentak lagu, mewarnakan keychain sebagai hasil kreativiti sendiri serta menikmati aktiviti bebas bersama guru. Ada yang leka membaca buku, manakala ada juga yang seronok bermain LEGO bersama rakan-rakan.

Wah, bukan main seronok lagi wajah masing-masing! Setiap aktiviti memberikan peluang kepada si cilik untuk belajar perkara baharu, meneroka persekitaran dan membina pengalaman di luar bilik darjah.

Keterujaan si cilik hebat semakin berganda apabila masing-masing menerima cenderamata daripada pihak perpustakaan. Antaranya ialah buku, pensil, pemadam, pembaris dan pensil warna. Bukan itu sahaja, pihak perpustakaan turut menyediakan roti dan air kotak untuk dinikmati di tadika atau dibawa pulang ke rumah.

Cikgu-cikgu juga tidak dilupakan apabila menerima buku sebagai tanda penghargaan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga Perpustakaan Awam Pasir Gudang atas layanan yang mesra, sambutan yang baik serta kesudian menyediakan pelbagai aktiviti dan cenderamata buat kami.

Buat si cilik hebat Pintar, Taman Rinting dan Minda, Taman Kota Puteri, jangan risau dan jangan bersedih. Insya-Allah, lawatan ini akan diteruskan selepas tarikh baharu ditetapkan. Kita tunggu masa yang sesuai dan keadaan yang lebih baik demi keselamatan semua.

Sesungguhnya, pengalaman seperti ini bukan sekadar lawatan biasa, tetapi satu peluang untuk menyemai minat membaca, menambah ilmu dan mencipta kenangan indah bersama rakan serta guru.

Semoga pengalaman di Perpustakaan Pasir Gudang menjadi salah satu memori manis yang akan dikenang oleh si cilik hebat MyBistari. Teruskan meneroka, teruskan membaca dan teruskan menjadi anak-anak yang cintakan ilmu!


Dah sampai perpustakaan!

Jom jelajah setiap sudut perpustakaan.

Eh! Jumpa mama pula kat sini.


Kawasan yang paling ramai tak sabar nak masuk.


Jom sihatkan badan dengan bersenam.

Menari dengan penuh semangat.

Peace!

Sebelum mewarna keychain, jom kita bergambar dahulu.

Fokus mewarna!

Hasilnya!

Wah! banyaknya cenderahati yang dibawa pulang murid.



Cantik buku yang diterima oleh guru!

Rambang mata ya nak pilih buku yang mana untuk dibaca.

Baca buku ke tengok gambat je tu? Hihihi

Macam-macam gaya membaca.

Dah penat duduk — Baring pun boleh asalkan selesa.

Lima sekawan TH Inovasi.

Eh, baca buku abjad je? Alahai, bukan level awak ni!

Dah puas baca buku, boleh main lego!

Wah! dah nak sama ketinggian lego tu dengan awak.

Kreatifnya!

Nak cikgu bacakan buku pun boleh.

Masing-masing dengan lego.

Permainan teng-teng pun ada.

TH Jaya dan TH Ilmu.

Tempat wajib bergambar.

Buat si cilik hebat Pintar, Taman Rinting dan Minda, Taman Kota Puteri, jangan risau dan jangan bersedih. Insya-Allah, lawatan ini akan diteruskan selepas tarikh baharu ditetapkan. Kita tunggu masa yang sesuai dan keadaan yang lebih baik demi keselamatan semua.

Sesungguhnya, pengalaman seperti ini bukan sekadar lawatan biasa, tetapi satu peluang untuk menyemai minat membaca, menambah ilmu dan mencipta kenangan indah bersama rakan serta guru.

Semoga pengalaman di Perpustakaan Pasir Gudang menjadi salah satu memori manis yang akan dikenang oleh si cilik hebat MyBistari. Teruskan meneroka, teruskan membaca dan teruskan menjadi anak-anak yang cintakan ilmu!

Klik link ini untuk lihat lebih banyak gambar  🠆 Lawatan PAPG TH Inovasi & Genius
                                                                          🠆 Lawatan PAPG TH Cemerlang & Intelek
                                                                          🠆 Lawatan PAPG TH Ilmu & Jaya
                                                                          🠆 Lawatan PAPG TH Bijaksana & Kreatif

Sekian, terima kasih. 🌹

FROM ZERO TO HERO
(Bersatu untuk Mendidik)

~Cikgu Azreen~

0 comments:

Post a Comment

 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon