Monday, February 7, 2022

KAMI MENYAHUT PANGGILANMU YA ALLAH!

 Bismillahirrahmanirrahim.

Labbaikallah Humma Labbaik!

“Ikutilah antara ibadah haji dan umrah, kerana keduanya akan menghilangkan kefakiran dan berbagai dosa sebagaimana alat pandai besi menghilangkan kotoran yang ada pada besi, emas dan perak. Dan tiada balasan pahala bagi haji yang mabrur kecuali syurga, tidaklah seorang mukmin dalan kesehariannya berada dalam keadaan ihram, melainkan matahari terbenam dengan membawa dosa-dosanya.”

(HR Abdullah bin Mas’ud)

 

“Allahuakbar.. akak rasa tak apa yang kita rasa ni? Sayunya..” soal Puan Norafizah yang sama-sama menyiapkan kerja di pejabat kami.

Mata saya yang sedang sibuk menyemak senarai nama peserta untuk dibuat tanda nama haji cilik terhenti. Fokus diberikan kepada bunyi yang sayup-sayup kami dengar dari ruangan bawah tadika.

Subhanallah.. anak-anak murid sedang bertalbiah.

Sudah agak lama tidak mendengar laungan suci ini. Terus terang, kepenatan kami menyusun atur program ini terubat sedikit mendengar kesungguhan para guru dan anak-anak murid bertalbiah. Sesungguhnya, rindu untuk bertandang lagi ke rumah Allah tak sama dengan rindu ke tempat yang lain.

Perjalanan persiapan kali ini pada awalnya agak perlahan, almaklumlah sudah dua tahun tidak menjalankan aktiviti ini. Walaupun ada kertas kerja dan post mortem yang terdahulu, keadaan tetap perlu kami sesuaikan dengan suasana sekarang ini.

Bila bermula kembali program seperti ini, bermulalah juga proses mencari semula peralatan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti ini. Bukan apa, segala peralatan perlu disemak semula keadaannya masih ok lagi atau tidak. Jika ada yang rosak, perlu kami perbaiki ataupun tempah yang baru.

Jumlah penyertaan juga terpaksa kami kurangkan dari tahun sebelum datangnya Covid19. Pelbagai perkara yang kami perlu duduk dan kaji semula agar program ini dapat berjalan dengan lancar dan Insyaallah suasananya selamat dari wabak ini. Himpunan pertama anak-anak MyBistari Group dengan jumlah yang agak ramai, bohong kalau kami katakan kami tidak risau. Biarlah orang kata SOP sudah dilonggarkan, kami tetap menitik beratkan perkara ini. Sebolehnya kami tidak mahu program kami menjadi punca tercetusnya kluster baru.

Terima kasih kami ucapkan kepada para ibu bapa dan penjaga yang masih memberi sokongan kepada kami. Besar maknanya kepada kami. Dalam ketidakyakinan kami untuk melaksanakan program ini, sokongan dari para ibu bapa banyak memberi semangat kepada kami.

Maaf kerana cerita berkenaan program ini agak lambat kami naikkan. Terdapat beberapa perkara yang tidak dapat kami elakkan yang memerlukan perhatian segera dari kami, makanya coretan berkenaan simulasi haji ini kami simpan dahulu. 

Semoga dengan perkongsian aktiviti seperti ini dapat membangkitkan rasa cinta dan seronok anak-anak dalam melaksanakan amal ibadah, bukan sahaja haji, malah ibadah-ibadah yang lainnya. 

Di kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf kerana terpaksa membatalkan program yang seterusnya iaitu Pertandingan Uji Minda, Lego dan Speed Cups dek kerana peningkatan jumlah kes Covid19 yang kembali memdadak. Tempiasnya juga turut kami rasai dengan beberapa guru kami yang terjangkiti oleh penyakit ini. Semoga diberikan kesembuhan dan dipermudahkan urusan kesemuanya.

Ok, berbalik pada Program Simulasi Haji Cilik yang baru berlalu Januari yang lalu. Terima kasih kami ucapkan kepada para ibubapa yang sudi menjadi mutawwif dan mutawwifah untuk para peserta. Kami sangat-sangat hargai penglibatan tuan dan puan dalam melancarkan lagi program ini. Terima kasih sekali lagi kepada Encik Noor Hakim bin Md Tob, Puan Hafisalwa binti Mohamad, Puan Norfaziela binti Elias, Puan Siti Shah Hida binti Mohd Tahir, Puan Faridah binti Salleh,  Puan Nur Fazlina binti Wagiman, dan Puan Ismafahayu binti Ismail, semoga kita dapat bekerjasama lagi pada masa yang akan datang, Insyaallah. 

 Di sini kami kongsikan beberapa gambar dan juga video sepanjang program berkenaan dijalankan.

Persiapan menuju Program Haji Cilik.

Gigih siapkan semua benda yang diperlukan.

Sempat lagi posing pada malam angkut barang-barang ke tapak simulasi.

Dalam proses menyiapkan tapak simulasi untuk kegunaan esok hari.


Peserta TIB menanti rakan yang belum tiba.

Peserta TIMB setia menanti bas mereka.

Ok bas sudah sampai di TIPB, mari kita!!

Peserta TKM turut berkumpul di TIPB.

Peserta TMPB sama berkumpul di TS2.

Nah.. terimalah mini love dari peserta TNPB.

Jom semua peserta TS1 bergerak naik bas!

Peserta TS2 sudah hampir semua datang.

Peserta TM terus berkumpul di tapak simulasi haji.

Bergerak menuju ke tapak simulasi haji.

Ada juga tadika yang menaiki van ke tapak simulasi.

Alhamdulillah.. sudah selamat tiba.

Check suhu dahulu sebelum masuk ke dalam ya.

Duduk menanti program bermula.

Puan Suhaila sedang memberi taklimat kepada para mutawwif dan mutawwifah.

Mutawwifah dan guru sempat bergambar.

Terima kasih kepada para ibubapa yang sudi menjadi sebahagian 
dari tenaga program.

Para peserta berwukuf sambil mendengar taklimat.

Jangan lupa kira batu yang dikumpulkan itu ya!

Cikgu tengah beri taklimat, tapi mata masing-masing tertumpu  ke batu kerikil.

Ok, siap dah kumpul batu dan tampal sticker, marilah kita ke checkpoint
yang seterusnya.

Haaa... ok memang betul-betul dia rejam syaitan.

Alamak.. batu saya tu macam tak kena je model jamrah tu.

Pelbagai aksi merejam model jamrah.

Sudah mula panas ketika dengar taklimat tawaf.

Ibadah tawaf sedang dijalankan.

Ok marilah dapatkan sticker tanda sudah selesai tawaf.


Ibadah saie sedang dijalankan.

Hmm.. tadi ada plastik kecil kat dalam beg ni.. mana pula ni?

Cikgu, betul kan plastik yang ini?

Hati-hati potong tu cikgu, jangan terpotong jambul peserta.

Penyerahan semula panji dan pemberian sijil serta plak penghargaan
kepada para mutawwif dan mutawwifah.

Terima kasih sekali lagi dari kami.










Kami kongsikan video Program Simulasi Haji Cilik Sesi 2021.

Sesungguhnya kami amat-amat hargai sokongan para ibubapa secara langsung ataupun  tidak langsung sepanjang proses ini berlangsung. Diharap kita dapat lagi bersua di program yang akan datang. Sama-samalah kita berdoa agar wabak ini segera berakhir agar kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan selesa. 

Maaf sekali lagi dari pihak kami kerana terpaksa membatalkan Pertandingan Uji Minda, Lego dan Speed Cups. Bagi anak-anak yang terpilih untuk menyertainya, jangan sedih, walaupun tidak dapat beraksi di pentas pertandingan, adik-adik perolehi ilmu baru  sepanjang latihan. 

Memandangkan kes semakin mencanak naik semula, diharap para ibubapa memantau pergerakkan anak-anak di luar rumah. Sekiranya tiada apa-apa keperluan untuk keluar, duduk sahajalah di rumah. Pastikan tetap mematuhi SOP yang diberikan, pakai pelitup muka mengikut cara yang betul, mandi selepas balik dari kedai atau berjalan di luar. Perbanyakkan zikir dan selawat, semoga kita semua sentiasa di dalam lindunganNya. Bagi para ibubapa, anak-anak murid dan para guru yang dijangkiti Covid19, semoga dipermudahkan segala urusan dan semoga kembali sembuh. Jaga diri, jaga keluarga.

~Cikgu Norifah~ 













 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon