Monday, August 30, 2021

ANAK ISTIMEWA BUAT IBU BAPA YANG ISTIMEWA

 Bismillahirrahmanirrahim.

Anak-anak istimewa buat ibu bapa yang istimewa.

“Kami tak rasa kami istimewa, kami mak ayah yang diuji untuk syukur nikmat Allah.” Ayat yang amat terkesan di hati saya ketika sesi bertemu ibu bapa sewaktu saya menjadi guru besar di TPB Taman Scientex 1. Sudah lebih 10 tahun pertemuan itu, tapi sehingga sekarang masih terbayang wajah anak murid saya itu dan juga ibunya. Seorang ibu yang hanya berharap anaknya mengenal huruf dan dapat bergaul dengan anak-anak yang lain. Tetapi murid kami ini sangat bijak, di usia 5 tahun sudah membaca sehingga Read Easy dan kehadirannya senantiasa dinanti oleh rakan sekelas dan juga kami para guru. Rakan-rakan sekelas juga sudah faham jadual persekolahannya, hari Rabu dia takkan hadir kerana ada slot di hospital.  

Bagi anak-anak yang istimewa ini, kami akan hubungi ibu bapa untuk hadir ke tadika untuk membincangkan berkenaan anak-anak mereka. Maafkan kami jika ada di antaranya yang terpaksa kami berhentikan kerana kami tidak dapat memberi khidmat yang terbaik, tiada di kalangan kami yang pakar dalam mendidik anak-anak ini. Keselamatan mereka keutamaan kami. Bimbang jika berlaku apa-apa ketika sesi P&P sedang berjalan.  

Sesungguhnya, kami amat memandang tinggi dan hormat ibu bapa sebegini. Masa 3 jam ketika anak-anak ini di tadika sudah cukup membuat kami turut merasa mencabarnya menjaga anak-anak istimewa ini. Bayangkan mereka yang menjaga mereka setiap hari di rumah, pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi. Hats off!

Jika suatu masa dahulu, kami akui kami kurang pengetahuan dan pendedahan berkenaan dengan anak-anak istimewa ini, tetapi Ahamdulillah sekarang ini dengan perkongsian yang kami perolehi dari media massa, pihak autoriti dan juga para ibu bapa yang arif dalam bidang ini, ianya membuka minda dan memberi lebih kefahaman kepada kami di MyBISTARI.

Kefahaman dan kesedaran inilah yang menyebabkan kami mengadakan Program Keibubapaan – Cabaran Pendidikan Anak Berkeperluan Khas pada hari Sabtu, 28hb Ogos yang lalu. Kami amat berharap dengan adanya program sebegini, lebih membuka minda kita semua berkenaan hal-hal yang terkait dengan anak-anak ini.

Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada Puan Hasniza Binti Che Mat, guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort kerana sudi berkongsi ilmu dengan kami dan para penonton. Terima kasih juga kepada dua ibu yang sangat hebat, Puan Janariah Binti Mat Amin dan Puan Maizan Binti Abd, Hamid atas perkongsian pengalaman menjaga dan membesarkan anak-anak berkeperluan khas. Program yang diadakan secara langsung di Youtube, Alhamdulillah dapat berjalan dengan lancar dan baik. Maaf sekiranya sepanjang acara berlangsung terdapat beberapa kesilapan teknikal yang tak dapat kami jangkakan.

Di sini kami kongsikan beberapa gambar sepanjang program ini berlangsung.

Bismillahirrahmanirrahim. Program pun bermula.


Pemudahcara majlis program, Cikgu Noor Faridah.


Ucapan alu-aluan dari Founder MyBISTARI GROUP, Puan Zainun Mat Lazim.


Puan Hasniza Che Mat, guru pendidikan khas, SK Tanjung Puteri Resort.


Puan Noor Suhaila, selaku moderator program.


Terima kasih Puan Maizan kerana sudi berkongsi pengalaman dengan kami.


Perkongsian dari Pn Janariah amat kami hargai.

Antara ilmu yang dikongsikan ketika program.
















Bagi yang terlepas untuk turut serta menonton atau yang ingin menonton semula program ini, sila klik di pautan yang kami sertakan di sini.


Semoga dengan perkongsian ini lebih membuka minda kita dan menciptakan kepekaan kita terhadap anak-anak berkeperluan khas ini. Mereka juga anak-anak yang hebat seperti kanak-kanak yang lainnya. Dan sememangnya bagi kami, 'Anak-anak Istimewa buat Ibu Bapa yang Istimewa'.

Dalam pada itu, kekallah duduk di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar. Sekiranya perlu untuk keluar, berhati-hati, jaga SOP yang telah diberikan. Kes di sekitar Pasir Gudang amatlah membimbangkan. Sekiranya ada di kalangan kita yang terlibat dengan pandemik ini, positif Covid 19 atau hal-hal lain yang berkaitan dengannya, sama-samalah kita berdoa agar diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan. Jangan lupa bantu mereka yang memerlukan. Bagi anak-anak murid semua, kami para guru amatlah berharap agar diberi kesempatan untuk berjumpa lagi di tadika masing-masing. Rajin-rajin zikir dan berselawat ya! Bantu ibu dan ayah. Kita ingat Allah, pasti Allah akan jaga kita.

~Cikgu Norifah~








































Wednesday, August 25, 2021

HEBATNYA MEREKA BERCERITA!

 

Bismillahirrahmanirrahim.


“Tiada keyakinanlah yang membuat orang takut menghadapi tentangan, dan saya percaya pada diri saya sendiri.” Muhammad Ali.

Ya.. benar kata-kata juara tinju dunia itu. Alhamdulillah untuk kesekian kalinya kita semua juga dapat menyaksikan keyakinan itu dalam diri anak-anak murid MyBISTARI GROUP. Baru-baru ini telah pun diadakan Pertandingan Bercerita peringkat saringan. Jika sebelum ini pertandingan bercerita adalah sebahagian dari acara yang dipertandingkan di dalam Program Uji Minda, dek kerana pandemik yang tak pasti entah bila akan berakhir ini, program itu tidak dapat kami adakan. Tetapi setelah berbincang, pertandingan bercerita tetap kami adakan untuk membangkitkan semangat anak-anak dalam alam persekolahan tadika mereka.

Pada awalnya, terfikir juga, bagaimana untuk melakukan pertandingan ini ya? Ada ke anak-anak murid yang ingin turut serta? Tetapi Alhamdulillah, Allah permudahkan urusannya. Penyertaan dari anak-anak murid sangat baik. Terima kasih kami ucapkan kepada para ibu bapa yang memberi sokongan dengan mendaftarkan anak-anak sebagai peserta bercerita. Terima kasih yang tak terhingga juga kerana melatih dan menyiapkan segala kostum dan props anak-anak. Jika sebelum ini segala persiapan adalah usaha gandingan para guru dan juga ibu bapa, maafkan kami, kali ini seratus peratus semuanya adalah tugas para ibu bapa. Kami amat-amat hargainya. Kagum kami dengan hasil yang ditunjukkan oleh para peserta baik dari segi bercerita mahupun props yang digunakan.

Pertandingan Bercerita peringkat saringan yang diadakan pada 22hb Ogos 2021 yang lalu diadakan secara live di saluran Youtube MyBISTARI GROUP. Para ibu bapa menghantar video rakaman para peserta dan kami tayangkan satu persatu untuk tontonan semua. Sekali lagi maafkan kami atas ke tidak lancaran program ini dan Insyaallah kami akan perbaikinya bagi program-program yang mendatang.

Para juri juga turut serta menonton pertandingan ini di peringkat saringan di medium Google Meet. Terima kasih kami ucapkan kepada Ketua Juri kami, Puan Nor Lizah Binti Abu Talip dan juga kepada pembantu juri, Puan Zaiton Binti Mat Lazim. Pengalaman mereka berdua sebagai guru di sekolah banyak membantu kami dalam penilaian peserta.

Di sini kami kongsikan gambar-gambar para peserta sepanjang pertandingan secara alam maya dilakukan.

Peserta pertama dari TIB. Adik Muhammad Fateh Elyas dengan cerita yang bertajuk
Kisah Nabi Adam dengan Hasutan Syaitan.

Peserta kedua, adik Siti Aisyah dari TS2 dengan ceritanya Gadis Bertudung Merah.

Peserta ketiga, adik Putera Muhammad Qhalif bercerita tentang Anak Kambing Menipu Ibunya.

Adik Aira Fathonah dari TKM dengan ceritanya Rabiatul Adawiyah Yang penuh
Hatinya Dengan Tuhan.

Adik Aatif dari TPB TM dengan ceritanya Uwais Al Qarni Pemuda Yang Terkenal
Di Langit.

Adik Nur Aurora Aisyah dari TPB TM dengan ceritanya Harta Karun Qarun.

Adik Irdina Sakinah dari TPB TM bercerita tentang Nabi Musa Dengan Tongkatnya.

Adik Arissa Sofia dari TIPB rancak bercerita berkenaan Kisah Nabi Musa dan Firaun.

Adik Dhia Aisy Irdina dari TIPB bercerita tentang Arnab Dan Serigala.

Adik Amni Amanina dari TIPB rancak bercerita dalam Bahasa Inggeris dengan ceritanya
The Ugly Duckling.

Adik Arfa Ar Raudhah dari TS1 bercerita tentang Nabi Yunus Dan Ikan Nun.

Adik Al Akif dari TS1 dengan ceritanya Sentuhan Raja Midas.

Adik Syuhada dari TNPB berbahasa Inggeris dengan ceritanya yang bertajuk Ginger.

Adik Siti Nur Aisyah dari TNPB dengan ceritanya Sang Harimau Dan Bayang-Bayang.

Adik Muhammad Fathi dari TIMB bercerita berkenaan Tongkat Musa Menjadi Ular.

Peserta akhir, Adik Muhammad Iman dari TIMB dengan ceritanya Kisah Burung Pipit
Selamatkan Nabi Ibrahim.

Kami di belakang tabir sambil tonton dan berbincang.

Terima kasih para ibu bapa yang menonton di saluran YouTube kami.

Untuk tonton pertandingan peringkat saringan ini, boleh klik di sini ya:
 - Cut version

Nama-nama peserta yang terpilih untuk masuk ke peringkat akhir akan diumumkan pada 25hb Ogos 2021. Sama-samalah kita tunggu keputusannya ya!

Terima kasih sekali lagi kerana memberikan kerjasama yang baik dan tetap setia dengan kami. 
Akhir kata, perbanyakkan istigfar dan selawat, Insyallah kalau kita ingat Allah, Allah akan jaga kita.

~Cikgu Norifah~




















Wednesday, August 18, 2021

MARI BERSUA DI ALAM MAYA

 

Bismillahirrahmanirrahim.


Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan untuk meneruskan kehidupan kita oleh Yang Maha Esa. Janganlah kita sia-siakan masa yang diberi ini dengan begitu sahaja. Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan dan beramal kepadaNya. Alfatihah untuk mereka yang telah pergi meninggalkan kita dan semoga diberi kesembuhan bagi yang sedang kurang sihat.

Sedar tak sedar sekarang sudahpun masuk ke bulan Ogos. Kalau ikut perancangan tahunan yang dinyatakan di dalam takwim tadika, banyak perkara menarik yang akan dilakukan pada bulan ini, tetapi apakan daya, hanya Allah lah sebaik-baik perancang.

Bila masuk bulan Ogos, bermakna sudah hampir setahun anak-anak murid K1 bersama-sama dengan kami dan dua tahun bagi murid-murid K2, walaupun lebih masanya secara alam maya. Pastinya ibu bapa dan penjaga mahu tahu perkembangan prestasi pelajaran anak-anak walaupun mereka belajar di rumah dan di dalam pantauan ibu bapa. Ditambah juga dengan hubungan silaturrahim antara para guru dan ibu bapa, untuk dua tahun ini agak terhad kerana tidak dapat berbincang secara bersemuka berkenaan prestasi anak-anak murid.

Oleh itu, kami di MyBISTARI GROUP, untuk julung-julung kalinya, akan mengadakan Hari Terbuka secara alam maya dengan para ibu bapa. Hari terbuka akan diakan selama 2 hari, iaitu:

  1. K1 & 5 Bistari – (20hb Ogos 2021 – Jumaat)
  2. K2 & 6 Bistari – (21hb Ogos 2021 – Sabtu)

Jika sebelum ini, waktu beginilah para guru akan sibuk dengan persiapan menyambut kehadiran para ibu bapa ke tadika, kali ini tetap juga sibuk, sibuk memahamkan penggunaan gajet untuk bersemuka dengan para ibu bapa. Jadi di kesempatan ini, kami ingin memohon maaf terlebih dahulu sekiranya nanti ketika sesi Hari Terbuka ada kesilapan atau perjalanan sesi alam maya yang kurang kemas. Ahh.. sesungguhnya kami rindu suasana menghias tadika dan menanti kedatangan para ibu bapa ke tadika kami. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua. Ok jom kita ‘throwback’ suasana Hari Terbuka terakhir sebelum pandemik datang melanda.

Cikgu, boleh terangkan semula? Macam kurang faham pula.

Ok!! Senyum jangan tak senyum!

Papan notis keputusan hasil kreativiti para guru.

Penat lelah guru yang berbaloi.

Terima kasih ibu!

Sebelum masuk ke dalam tadika, perlu daftar di kaunter terlebih dahulu.

Bincang apa agaknya tu?

Tersenyum manis menanti kehadiran para ibu bapa.

Tengah cerita apa tu Cikgu Intan?

Suasana di dalam tadika, menanti giliran untuk bersua muka.

Eh.. macam kenal je pasangan ibu bapa ni.

Para guru sempat bergambar di sudut foto.

Manfaatkan masa yang ada apabila tiada para ibu bapa yang hadir.

Cikgu-cikgu yang sentiasa ceria.

Ya puan, ada apa-apa lagi soalan?

Inilah yang paling susah nak teka, siapa agaknya mereka ni?

Kami kongsikan juga posting terdahulu berkenaan dengan Hari Terbuka yang pernah diadakan.

MARI KITA BERSUA MUKA

Ini pula video Hari Terbuka.



Oh ya, kami juga bakal mengadakan Pertandingan Bercerita dalam waktu terdekat ini. Terima kasih kepada para ibu bapa yang memberikan kerjasama dengan melibatkan anak-anak untuk turut serta nanti. Jutaan terima kasih juga daripada kami, keluarga besar MyBISTARI GROUP, kerana memilih untuk tetap terus bersama dan menyokong kami. Kami amat hargainya. Bagi yang terpaksa meninggalkan kami dek kerana tuntutan masa, kewangan atau hal yang lainnya, kami amat berharap hubungan antara kita tidak terhenti setakat itu sahaja.

Marilah kita sama-sama berubah ke arah kebaikan dan saling ingat-mengingati. Kita ingat Allah, Allah jaga kita. Jaga diri dan keluarga, patuhi SOP yang telah ditetapkan untuk kebaikan kita bersama. Cikgu sayang semua.

~Cikgu Norifah~



 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon