Monday, August 30, 2021

ANAK ISTIMEWA BUAT IBU BAPA YANG ISTIMEWA

 Bismillahirrahmanirrahim.

Anak-anak istimewa buat ibu bapa yang istimewa.

“Kami tak rasa kami istimewa, kami mak ayah yang diuji untuk syukur nikmat Allah.” Ayat yang amat terkesan di hati saya ketika sesi bertemu ibu bapa sewaktu saya menjadi guru besar di TPB Taman Scientex 1. Sudah lebih 10 tahun pertemuan itu, tapi sehingga sekarang masih terbayang wajah anak murid saya itu dan juga ibunya. Seorang ibu yang hanya berharap anaknya mengenal huruf dan dapat bergaul dengan anak-anak yang lain. Tetapi murid kami ini sangat bijak, di usia 5 tahun sudah membaca sehingga Read Easy dan kehadirannya senantiasa dinanti oleh rakan sekelas dan juga kami para guru. Rakan-rakan sekelas juga sudah faham jadual persekolahannya, hari Rabu dia takkan hadir kerana ada slot di hospital.  

Bagi anak-anak yang istimewa ini, kami akan hubungi ibu bapa untuk hadir ke tadika untuk membincangkan berkenaan anak-anak mereka. Maafkan kami jika ada di antaranya yang terpaksa kami berhentikan kerana kami tidak dapat memberi khidmat yang terbaik, tiada di kalangan kami yang pakar dalam mendidik anak-anak ini. Keselamatan mereka keutamaan kami. Bimbang jika berlaku apa-apa ketika sesi P&P sedang berjalan.  

Sesungguhnya, kami amat memandang tinggi dan hormat ibu bapa sebegini. Masa 3 jam ketika anak-anak ini di tadika sudah cukup membuat kami turut merasa mencabarnya menjaga anak-anak istimewa ini. Bayangkan mereka yang menjaga mereka setiap hari di rumah, pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi. Hats off!

Jika suatu masa dahulu, kami akui kami kurang pengetahuan dan pendedahan berkenaan dengan anak-anak istimewa ini, tetapi Ahamdulillah sekarang ini dengan perkongsian yang kami perolehi dari media massa, pihak autoriti dan juga para ibu bapa yang arif dalam bidang ini, ianya membuka minda dan memberi lebih kefahaman kepada kami di MyBISTARI.

Kefahaman dan kesedaran inilah yang menyebabkan kami mengadakan Program Keibubapaan – Cabaran Pendidikan Anak Berkeperluan Khas pada hari Sabtu, 28hb Ogos yang lalu. Kami amat berharap dengan adanya program sebegini, lebih membuka minda kita semua berkenaan hal-hal yang terkait dengan anak-anak ini.

Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada Puan Hasniza Binti Che Mat, guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort kerana sudi berkongsi ilmu dengan kami dan para penonton. Terima kasih juga kepada dua ibu yang sangat hebat, Puan Janariah Binti Mat Amin dan Puan Maizan Binti Abd, Hamid atas perkongsian pengalaman menjaga dan membesarkan anak-anak berkeperluan khas. Program yang diadakan secara langsung di Youtube, Alhamdulillah dapat berjalan dengan lancar dan baik. Maaf sekiranya sepanjang acara berlangsung terdapat beberapa kesilapan teknikal yang tak dapat kami jangkakan.

Di sini kami kongsikan beberapa gambar sepanjang program ini berlangsung.

Bismillahirrahmanirrahim. Program pun bermula.


Pemudahcara majlis program, Cikgu Noor Faridah.


Ucapan alu-aluan dari Founder MyBISTARI GROUP, Puan Zainun Mat Lazim.


Puan Hasniza Che Mat, guru pendidikan khas, SK Tanjung Puteri Resort.


Puan Noor Suhaila, selaku moderator program.


Terima kasih Puan Maizan kerana sudi berkongsi pengalaman dengan kami.


Perkongsian dari Pn Janariah amat kami hargai.

Antara ilmu yang dikongsikan ketika program.
















Bagi yang terlepas untuk turut serta menonton atau yang ingin menonton semula program ini, sila klik di pautan yang kami sertakan di sini.


Semoga dengan perkongsian ini lebih membuka minda kita dan menciptakan kepekaan kita terhadap anak-anak berkeperluan khas ini. Mereka juga anak-anak yang hebat seperti kanak-kanak yang lainnya. Dan sememangnya bagi kami, 'Anak-anak Istimewa buat Ibu Bapa yang Istimewa'.

Dalam pada itu, kekallah duduk di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar. Sekiranya perlu untuk keluar, berhati-hati, jaga SOP yang telah diberikan. Kes di sekitar Pasir Gudang amatlah membimbangkan. Sekiranya ada di kalangan kita yang terlibat dengan pandemik ini, positif Covid 19 atau hal-hal lain yang berkaitan dengannya, sama-samalah kita berdoa agar diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan. Jangan lupa bantu mereka yang memerlukan. Bagi anak-anak murid semua, kami para guru amatlah berharap agar diberi kesempatan untuk berjumpa lagi di tadika masing-masing. Rajin-rajin zikir dan berselawat ya! Bantu ibu dan ayah. Kita ingat Allah, pasti Allah akan jaga kita.

~Cikgu Norifah~








































0 comments:

Post a Comment

 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon