Thursday, December 31, 2020

PKPB DILANJUTKAN - THROWBACK AWAL SEMESTER 2020

Bismillahirrahmanirrahim.

Aktiviti pertama di permulaan persekolahan.


“PBKB di daerah Johor Bahru dilanjutkan sehingga 14hb Januari 2021”

Allah.. bila sahaja mendapat berita ini, terus terbayang suasana awal semester di tadika kami. Bermakna, tarikh kemasukan untuk sesi 2021 juga terpaksalah kami lanjutkan ke tarikh yang lain. Barulah kini terasa ‘nikmat’ melayan murid-murid baru yang pertama kali menjejakkan kaki ke tadika. Hari pertama dan untuk beberapa minggu yang seterusnya, guru-guru kami bukan sekadar menjadi cikgu, tetapi juga sebagai pelari pecut, pengangkat berat, pakar kaunseling, penyanyi, pelakon dan pelbagai lagi kerjaya.

Penat, sakit.. tapi di penghujung hari, kerenah anak-anak murid inilah yang juga menjadi pengubat dan punca ukiran senyuman di wajah guru-guru kami. Betullah orang kata, kita akan menghargai sesuatu ataupun seseorang apabila kita kehilangan benda tersebut.

Hebatnya cikgu-cikgu ni, walaupun pelbagai cabaran yang terpaksa mereka hadapi di awal persekolahan, tetap juga diselitkan doa dan kata-kata positif. Contohnya ketika saya melawat ke tadika di awal sesi persekolahan pada tahun yang terdahulu, terlihat seorang guru duduk sambil memeluk anak muridnya, tudung dan jubah basah dek airmata dan hingus anak murid terbabit. Belum sempat saya bertanya, guru tersebut sudah bersuara,

“Cik Ifah, takpe Cik Ifah.. selalunya murid yang kuat nangis ni lah sebenarnya pandai dan jadi wakil tadika kat pertandingan nanti, ya… Aamiin.. Aamiin..” katanya sambil belakang murid itu diusap-usap.

Saya turut mengaminkan doanya. Semoga segala doa dan ilmu yang guru-guru kami curahkan kepada anak-anak murid mendapat keberkatan dariNya.

Di sini kami kongsikan beberapa gambar dan video 'throwback' permulaan sesi pada tahun yang terdahulu.

Beratur tunggu giliran untuk urusan van anak.

Cerita apa tu Cik Din?

Jangan lupa ambil nametagnya.

Lintas jalan elok-elok ya!

OK.. nametag ni jaga baik-baik tau.

Alamak, mama lupa bawa sapu tanganlah.

Hai cikgu, saya dah sampai!

Pastikan alamat dan nombor telefon betul ya.

Ok, jom kita bersuai kenal!

Murid-murid diajar cara mencuci tangan.

Cuba teka nama saya apa?

Jom ikut cikgu nyanyi!

Tadah tangan semua, nak baca doa makan ni.

Sedapnya bekal saya!

Jemput makan semua.

Ok mari nyanyi lagi!

Susun kasut di rak elok-elok ya.

Sesi penerangan penggunaan tandas.

Mari kita kumpul buku aktiviti supaya beg tak berat.

Hati-hati turun tangga ya.

Yeay, dah nak balik dah!

Tunggu nama cikgu panggil baru boleh keluar dari tadika, ok?

Mari sini cikgu bantu naik ke dalam van.


Di sini juga kami kongsikan video permulaan semester pada tahun yang terdahulu.



Jika diikutkan takwim 2020 yang awal, sekarang ini sudahpun bermula sesi persekolahan 2021. Sayangnya, kerana Covid19, pra tadika terpaksa kami tiadakan, permulaan sesi 2021 juga ditunda ke 17hb Januari 2021 (InsyaAllah). Risau sebenarnya memikirkan proses perkembangan pendidikan anak-anak ini. Diharap segalanya dipermudahkan dan kita semua sentiasa di bawah lindunganNya.

Oh ya.. sesi pembayaran dan pengambilan keperluan masih lagi berlangsung sehingga 5hb Januari 2021. Silalah berhubung dengan tadika di mana anak didaftarkan sekiranya ada sebarang persoalan berkenaan dengan sesi ini. Kami ucapkan jutaan terima kasih kerana memilih untuk bersama-sama dengan kami dalam membentuk pendidikan awal anak-anak. Semoga diberi kesempatan untuk kita bersua muka.

Jangan lupa, jaga kesihatan, tidak perlu keluar rumah jika tiada urusan penting, dan perbanyakkan selawat dan doa agar pandemik ini segera berakhir. 

~Cikgu Norifah~

Monday, December 21, 2020

LET'S BUCKLE UP FOR 2021!

Sesi pengambilan barangan di TNPB

Bismillahirrahmanirrahim.

“Tidaklah ada dari manusia melainkan: diuji dengan keselamatan agar diketahui bagaimana syukurnya, atau diuji dengan sebuah bencana agar diketahui bagaimana sabarnya.” – Ibnu Qayyim

Lama rasanya tidak berkongsi cerita. Mana taknya,perjalanan MyBISTARI GROUP dan juga keseluruhan umat dunia amnya sekarang ini ibarat roller coaster. Selagi pandemik ini tidak berakhir dan tidak dapat dibendung, selagi itulah kita akan berada di  dalam keadaan begini. Hidup dalam ketidakpastian kerana segala-galanya boleh berubah mengikut situasi semasa.

Paling terdekat dengan kami, warga MyBISTARI adalah dengan sesi persekolahan. Pada awalnya memang sedih bila memikirkan yang sesi tahun ini akan berakhir begitu sahaja. Kemudian, diberi sedikit sinar apabila dibenarkan untuk bersekolah semula, makanya pelbagai perancangan (yang pastinya berlandaskan SOP yang ditetapkan) telah dirancang untuk anak-anak murid kami, tetapi sayangnya, di akhir waktu terpaksa kami batalkan juga kerana perintah PKPB diadakan semula. Yang dapat kami laksanakan dalam waktu yang singkat itu hanyalah majlis perpisahan sesi 2020.

Di kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada pihak ibubapa dan penjaga yang memberikan kerjasama yang tersangat baik kepada kami ketika majlis itu dilakukan. Lega hati kami kerana dengan bantuan dan sokongan para ibubapa, kami dapat berikan kenangan terakhir murid-murid bersama rakan-rakan dan para guru mereka.

Seperti yang semua sedia maklum, sekarang ini sedang dijalankan sesi pembayaran yuran dan pengambilan barang keperluan 2021. Memandangkan kita masih diancam dengan Covid19, beberapa langkah yang kelihatan drastik, tetapi perlu kami lakukan untuk keselamatan kita semua telah kami terapkan. Antaranya, tidak perlu membawa anak untuk sesi pembelian barang, baju yang telah dibeli tidak boleh ditukar (ini juga berlaku di kedai-kedai pakaian yang lain), pemilihan saiz baju adalah mengikut ukuran yang diberi oleh guru besar. Kami amat berharap para ibubapa kenalpasti dahulu saiz yang sesuai untuk anak sebelum datang untuk membuat pembelian. Bagi ibubapa yang terserempak dengan rakan-rakan atau jiran yang lain ketika membuat pembayaran, diharap agar tidak bersembang panjang di ruang tadika ya. Kerjasama dari pihak ibubapa amat kami hargai.

Wajib scan ini ya sebelum masuk ke tadika.

Sekiranya tiada aplikasi untuk scan, nampak tak buku di bawah tu? Sila isi ya.

Di setiap cawangan ada disediakan meja pendaftaran seperti ini.

Sila semak ya, butiran peribadi anak di sini sementara menanti giliran dipanggil.

Terima kasih kerana memberikan kerjasama yang baik.

Ruang menunggu juga mengikut SOP yang ditetapkan.

Diharap para ibubapa membaca setiap memo yang kami naikkan di tadika.

Situasi ketika pengambilan keperluan.

Pemakaian topeng juga wajib ya!

Jangan risau, kami sering sanitisi peralatan yang ada di dalam tadika.

Kami kongsikan juga video himpunan beberapa cawangan berkenaan tatacara pengambilan keperluan 2021.



Terima kasih sekali lagi kami ucapkan kepada para ibubapa yang masih memilih untuk bersama kami lagi pada tahun hadapan. Bagi yang baru akan bersama kami untuk tahun hadapan kami ucapkan beribu terima kasih di atas kepercayaan yang diberi. Mari kita sama-sama jaga keselamatan dan kebersihan agar pandemik ini dapat dikekang dan berakhir. Rajin-rajin berdoa dan jadikan apa yang berlaku ini sebagai pengajaran untuk kita semua.

Insyaallah jumpa nanti di tahun 2021 ya kesayangan semua! Let's buckle up for 2021!

~Cikgu Norifah~


    

Monday, October 19, 2020

JOM LIKE PAGE KAMI

Bismillahirrahmanirrahim.


Wah.. sudah agak lama juga tak dikemaskini blog tadika ini ya. Maafkan kami. Banyak cerita dan aktiviti sebenarnya yang hendak kami kongsikan, sayangnya keadaan dan masa agak terbatas.

Memikirkan cara yang lebih efektif untuk berkongsi aktiviti harian anak-anak di tadika, makanya pihak pengurusan mengambil keputusan untuk mewujudkan FB Page bagi setiap cawangan kami. Maaf sekali lagi sekiranya page yang kami wujudkan itu masih kurang sempurna, maklumlah, baru hendak berjinak-jinak dengan ‘dunia baru’ ini. Masih banyak yang perlu kami pelajari.

Di harap para ibu bapa dan penjaga dapatlah memberi sokongan kepada kami. Sila like, follow, dan share ya! Tolong uar-uarkan kewujudan page kami di alam maya.

Di sini kami kongsikan link ke laman page setiap tadika kami.

Ingin juga kami ingatkan sekali lagi di sini, jaga kesihatan dan sentiasa pantau keberadaan anak-anak. Kita masih lagi di dalam suasana pandemik Covid-19. Jika tiada apa-apa keperluan untuk berada di luar rumah, tak perlu keluar. Jangan berlengah sekiranya kurang sihat, jumpalah doktor untuk dapatkan ubat dan nasihat yang betul.
 
Kita berjumpa di page tadika ya!

~Cikgu Norifah~

Monday, September 7, 2020

THROWBACK PERTANDINGAN SEMPOA, CONGAK DAN SPEED CUPS

Bismillahirrahmanirrahim.

Pertandingan Sempoa, Congak & Speed Cups 2019

Alhamdulillah, sudah hampir tiga bulan kita kembali memulakan sesi persekolahan. Selalunya bila masuk ke semester kedua, tadika kita akan rancak dengan pelbagai aktiviti luar untuk anak-anak murid. Ada ketikanya membuatkan kami tak cukup tangan dan masa menyediakan segala kelengkapan. Tak dinafikan ada ketikanya akan terkeluar keluhan penat kerana boleh dikatakan ‘non-stop’ menyediakan bahan-bahan untuk segala event yang telah direncanakan.  Ternyata segala keluhan penat itulah yang kami rindukan sekarang ini. So, the lesson to be learnt here, don’t take things for granted.

Jika ikut takwim yang disediakan terdahulu, Pertandingan Sempoa, Congak dan Speed Cups akan diadakan pada bulan September. Bohong jika kami katakan yang kami tak rindukan suasana sesi latihan di tadika untuk menghadapi event yang mendatang. Baik dari segi teknik mengira cepat dan juga sempoa, hingga ke susunan speed cups yang betul dan laju, tak lupa juga latihan tarian sampaikan guru-guru yang tak pernah menari pun perlu belajar menari agar mudah mengajar anak-anak murid nanti.

Bila tiba hari kejadian, bukan hanya perjalanan pertandingan sahaja yang kami nanti-nantikan, waktu ini jugalah masa di mana kami boleh dan sempat mencuri sedikit masa berjumpa para ibu bapa yang hadir dan juga di kira sebagai satu bonus bagi kami sekiranya mantan anak-anak murid kami juga hadir untuk memberi sokongan. Lelah bekerja hilang sedikit apabila ada bekas anak-anak murid dan ibu bapa mereka datang menyapa. Terima kasih kami ucapkan kepada mereka yang sudi datang menyapa kami.

Di sini kami ingin kongsikan serba sedikit berkenaan Pertandingan Sempoa, Congak dan Speed Cups / Lego yang diadakan pada tahun-tahun terdahulu. 

Proses penyediaan kad undangan ke pertandingan.

En Tamizi turut turun padang membantu menyiapkan hadiah untuk para peserta.

Khusyuk Puan Fiza dan Puan Siti menyediakan bahan.

Fokus menunggu soalan sempoa dibacakan. (Pertandingan akhir Sempoa 6 Bis)

Cantik dan comel para penari cilik kita.

Terima kasih para ibu dan bapa yang menyertai pertandingan sempoa.

Menanti giliran untuk naik ke pentas pertandingan.

Alamak, cikgu sebut lima ratus ke dua ratus eh tadi?

Para peserta congak sudah bersedia!

Eh, macam tak cukup je jari saya kira ni..

Para peserta speed cups naik ke pentas.

Susunan warna speed cups ditunjukkan oleh guru bertugas.

Lain macam Cikgu Zuraidah jeling, ada yang silap jawab ke tu?

Sempat lagi ya senyum ke kamera, Cikgu Famizah.

Cikgu Najuwa, jangan lupa pesan kat murid-murid,
jangan menangis kalau tak dapat jawab.


Pin ni macam kecil je, kejap eh.. cikgu cuba try test.

Tu senyum segan ke senyum seronok dapat naik pentas? Hehe.

Wakil dari para bapa.

Para pemenang congak.

Para pemenang speed cups.

Kami juga kongsikan video sepanjang pertandingan diadakan.

Pertandingan Sempoa, Congak & Speed Cups 2019

Pertandingan Sempoa, Congak & Lego 2018

Pertandingan Sempoa, Congak & Lego 2017

Bagi yang pernah alami pertandingan ini dengan anak-anak yang terdahulu, semoga perkongsian ini kembali segar dalam ingatan para ibu bapa dan bagi yang baru pertama kali menyaksikannya, sama-samalah kita berdoa agar keadaan menjadi lebih baik dan kita dapat beraktiviti seperti mereka-mereka yang terdahulu.

Buat masa ini, sama-samalah kita terus berdoa dan tawakal agar keadaan menjadi lebih baik dari sebelumnya. Diharap kita kekal mengikut perintah kerajaan dalam mengekang wabak ini. 

~Cikgu Norifah~







 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon