Wednesday, December 8, 2021

HARI GRADUASI VIRTUAL MyBISTARI 2021 - IN THE MAKING

Bismillahirrahmanirrahim. 
Poster Hari Graduasi Virtual MyBISTARI 2021

Alhamdulillah, sampai juga kita ke penghujung tahun 2021. Bermacam perkara yang telah kita lalui dalam proses memberikan pendidikan kepada anak-anak sepanjang tahun ini dan juga tahun lepas. Marilah kita sama-sama berdoa agar diberi kemudahan untuk tahun-tahun yang mendatang. Bila tiba hujung tahun begini, selalunya kami akan memberi penghargaan kepada anak-anak yang cemerlang prestasinya sepanjang tahun dan juga anak-anak 6 tahun yang bakal meninggalkan alam tadika. Hari Anugerah Cemerlang adalah penutup bagi segala aktiviti tahunan kami. 

Norma baharu yang menyajikan cabaran yang berbeza bagi pihak kami dan juga pihak ibu bapa. Dari awal lagi bila PDPR diterapkan oleh pihak KPM, para guru yang mendidik anak-anak ini dan pihak kami yang bertungkus lumus memikirkan cara yang terbaik agar ilmu dapat terus disampaikan walaupun murid-murid tidak dapat hadir ke tadika seperti biasa. Pelbagai cara yang diperkenalkan, dari penyediaan video-video pendidikan hinggalah perlaksanaan PDPR dengan menggunakan Google Meet, Telegram, Whatsapp dan lain-lain medium di internet. Kami faham tekanan yang turut dirasai oleh para ibu bapa yang terpaksa berhadapan dengan cara pembelajaran yang baru ini, tetapi inilah masa yang terbaik untuk kita saling berganding bahu dalam membentuk dan mendidik anak-anak kita agar mereka terima pendidikan yang sewajarnya. Syabas dan tahniah diucapkan kepada barisan tenaga pengajar yang berdedikasi, murid-murid dari kesembilan cawangan MyBistari, dan pastinya juga para ibu bapa dan penjaga yang sentiasa berada bersama kami dari awal sehingga akhir.

Terima kasih sekali lagi kami ucapkan kepada para ibu bapa dan penjaga yang tak henti-henti memberi dorongan, bantuan dan pandangan sepanjang proses PDPR anak-anak. Memandangkan keadaan di luar sana masih lagi kurang meyakinkan bagi kami untuk mengadakan majlis secara bersemuka, kami mengambil inisiatif untuk mengadakan hari anugerah ini secara virtual dan kami namakannya sebagai Hari Graduasi Virtual MyBISTARI. 

Sesungguhnya, bukan mudah untuk melaksanakan program seperti ini. Majlis besar yang selalunya diadakan secara bersemuka, kini perlu dilakukan secara alam maya. Pastinya cabaran yang berbeza. Pemahaman kami di dalam bidang IT tidaklah terlalu besar, jadi bila diberi tugasan untuk menyiapkan majlis ini sangat-sangat mencabar bagi kami. Dalam menyiapkan tugasan ini, kami masing-masing turut menimba ilmu baru. Raptai juga kami adakan sebanyak 2 kali untuk memastikan majlis yang betul dapat berjalan selancar yang mungkin. Terus terang, sehingga kini pun masih ada beberapa bahagian yang perlu kami perbaiki. Maafkan kami sekiranya nanti Hari Graduasi Virtual MyBISTARI 2021, ada kekurangannya. 

Alhamdulillah, baju cenderahati sudah siap.

Untuk anak-anak murid Anugerah Khas Bacaan.

Gigih siapkan cenderahati murid.

Pra raptai sedang berlangsung.

Cubaan kali pertama.

Proses edit background pemudahcara majlis.

Di lain hari, raptai kali kedua.

Ucapan dari murid-murid K2.

Contoh gambar graduasi murid dan keluarga.

Aturcara majlis Hari Graduasi Virtual MyBISTARI 2021.


Marilah bersama kami memeriahkan lagi majlis Hari Graduasi Virtual MyBISTARI 2021, secara alam maya yang akan diadakan secara langsung pada hari Sabtu, 11hb Disember 2021, jam 9.30 pagi. Link untuk ke Youtube channel kami akan diberikan sebelum majlis berlangsung. 

~Cikgu Norifah~


Tuesday, September 28, 2021

KECIL-KECIL CILI API

 


Bismillahirrahmanirrahim.

“Cikgu Ifah, boleh tolong buatkan lagu ni jadi minus one tak? Nak digunakan untuk bercerita,” pinta salah seorang Guru Besar kami.

Permintaannya mungkin kedengaran biasa-biasa sahaja, tetapi bagi kami, permintaan beginilah yang menambah rasa keterujaan dan menaikkan semangat kami untuk bekerja lebih baik lagi di belakang tabir bagi sesebuah program. Secara tidak langsung, kami juga terlibat dalam mempersiapkan peserta untuk beraksi nanti. Bagi saya sendiri, sengihnya lain macam bila melihat dan mendengar anak murid menyanyi mengikut lagu yang disediakan. Itu baru sedikit tu, kalau nak diikutkan cuma dalam 2 peratus sahaja penglibatan saya dari keseluruhan persembahan peserta. Tak dapat saya bayangkan betapa bangga dan terharunya para ibu bapa dan guru yang bertungkus lumus menyedia dan menyiapkan para peserta dari awal. Jika dulu, ketika bertugas di tepi pentas, pasti wajah para ibu bapa dan guru yang saya akan cari, untuk melihat ekspresi dan senyuman mereka sepanjang peserta beraksi, sayangnya kali ini pemandangan itu tak dapat saya saksikan lagi. Semoga kita semua diberi kesempatan olehNya untuk menikmati kehidupan seperti yang sebelum ini.

Walaupun begitu, pertandingan bercerita tetap juga kami teruskan secara alam maya. Jika pada 22hb Ogos yang lalu diadakan Pertandingan Bercerita 2021 peringkat saringan, pada 4 September 2021 yang lalu pula diadakan Pertandingan Bercerita 2021 peringkat akhir. Seramai 9 peserta yang layak ke peringkat akhir adalah seperti berikut:

  •          Adik Aathif Bin Noor Hakim dari TPB Taman Mawar (Uwais Al Qarni pemuda yg terkenal di langit)
  •          Adik Muhd. Fateh Elyas Bin Mohd. Aswadi dari Tadika Inovasi Bestari (Kisah Nabi Adam dan hasutan syaitan)
  •          Adik Siti Nur Aisyah Binti Mohd Alif dari Tadika Nur Pintar Bestari (Sang Harimau dan bayang-bayang)
  •          Adik Siti Aisyah Binti Nor Haidi dari TPB Tmn Scientex 2(Gadis bertudung merah)
  •         Adik Muhd. Fathi Bin Izzat Hilmi dari Tadika Intelek Minda Bestari (Tongkat Nabi Musa Menjadi Ular)
  •         Adik Arfa Ar Raudhah Binti Yong Mahmod Iskandar dari TPB Tmn Scientex 1 (Nabi Yunus dan ikan nun)
  •          Adik Nur Aurora Aisyah Binti Mohd Azri Haziq dari TPB Tmn Mawar (Harta Karun Qarun)
  •         Adik Nur Arissa Sofia Binti Omar Asaari  dari Tadika Ilmu Pintar Bestari (Kisah Nabi Musa dan Firaun)
  •          Adik Al Akif Bin Mohd. Firdaus dari TPB Tmn Scientex 1 (Sentuhan Emas Raja Midas)

Tak dinafikan, kami yang bertugas di belakang pentas juga turut berasa berdebar dan tak senang duduk sepanjang menuju ke peringkat akhir. Pertandingan kali ini bukan seperti yang biasa kami adakan. Jika sebelum ini, setiap permasalahan yang berlaku sebelum dan semasa pertandingan, Insyaallah mudah untuk kami atasi kerana masing-masing berada di tempat yang sama, kali ini tidak. Kami semua berada di tempat yang berbeza, di rumah masing-masing, begitu juga dengan para peserta. Tetapi Alhamdulillah, dengan bantuan dan sokongan dari para ibu bapa, pertandingan dapat dijalankan. Ada beberapa kesilapan yang mengganggu perjalanan majlis, tetapi dapat kami atasi dengan baik. Terima kasih sekali lagi kami ucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan pertandingan ini.

Di belakang tabir - ada yang karang skrip MC sebagai back up bagi skrip yang sedia ada,
ada yang mengawal perjalanan program, dan macam-macam lagi. Lainnya suasana bila tak dapat bersua muka semasa menjalankan tugas.

Sambil check perjalanan program, semak juga skrip bercerita peserta.

Sibuknya pengurus operasi kami memantau perjalanan pertandingan.

Antara selingan yang kami paparkan semasa pertandingan. Video terdahulu
program-program yang kami adakan setiap tahun.

Pemudah cara majlis kami, Puan Shawariah Saat memulakan majlis.

Ucapan alu-aluan dari founder MyBISTARI GROUP, Puan Zainun Mat Lazim.

Tahniah kami ucapkan kepada para pemenang pertandingan. Kepada para peserta, ibu bapa dan guru yang sama-sama berganding bahu memberikan yang terbaik dalam menyiapkan peserta dari awal hinggalah ke akhir pertandingan.. anda semua sangat hebat!

Dah bersedia nak bercerita ke tu?

Props bercerita yang disediakan oleh para ibubapa.

Wahhhh!!! Garangnya dia!

Mari tadah tangan baca doa sama-sama.

Tengah fikir ayat yang seterusnya ke tu?

Comel harimau ni.

Ala-ala imam tengah sampaikan khutbah.

Kagum dengan usaha para ibu bapa menghasilkan props.

Cantiknya dia dengan kostum ni.

Dik.. jangan tertidur betul-betul ya.

Hadiah yang menanti para peserta.

Sudah siap untuk dihantar ke para peserta semua.

Berikut adalah pemenang bagi pertandingan kali ini -

Juara bercerita - Adik Nur Arissa Sofia Binti Omar Asaari  dari Tadika Ilmu Pintar Bestari.



Naib juara - Adik Nur Aurora Aisyah Binti Mohd Azri Haziq dari TPB Tmn Mawar.



Ketiga - Adik Aathif Bin Noor Hakim dari TPB Taman Mawar.


Bagi yang lain-lain, jangan sedih dan putus asa ya.. pertandingan sememangnya sangat sengit kerana semua peserta memberikan yang terbaik. Semuanya berbakat dan hebat! 





Di sini saya kongsikan link Youtube untuk melihat
Pertandingan Akhir Bercerita.

Semoga kita dapat bekerjasama lagi di lain masa. Pengalaman baru yang sama-sama kita perolehi sepanjang pertandingan dijalankan amat bermakna bagi kami semua. Tahniah sekali lagi untuk semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan pertandingan ini.

Oh.. sebelum terlupa, kita sudahpun beralih ke Fasa 2. Tapi perlu diingat ya, tetap patuhi SOP, jaga keselamatan dan kebersihan. Tadika juga Insyaallah akan dibuka kembali, Alhamdulillah. Kami di sini menanti harinya dalam rasa seronok dan debar. Seronok untuk berjumpa kembali dengan anak-anak murid yang tersayang, berdebar kerana cabaran dan risiko yang bakal kita semua hadapi dalam menjalankan sesi PnP secara bersemuka. Di kesempatan ini, sekali lagi kami ingin peringatkan kepada para ibubapa untuk telus dengan kami sekiranya menjadi kontak rapat ataupun sedang dikuarantin. Kesihatan dan keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab kita semua. Semoga Allah permudahkan urusan kita semua. Rajin-rajin selawat dan istigfar. Cikgu rindu dan sayang semua. Jaga diri.

~Cikgu Norifah~







Monday, August 30, 2021

ANAK ISTIMEWA BUAT IBU BAPA YANG ISTIMEWA

 Bismillahirrahmanirrahim.

Anak-anak istimewa buat ibu bapa yang istimewa.

“Kami tak rasa kami istimewa, kami mak ayah yang diuji untuk syukur nikmat Allah.” Ayat yang amat terkesan di hati saya ketika sesi bertemu ibu bapa sewaktu saya menjadi guru besar di TPB Taman Scientex 1. Sudah lebih 10 tahun pertemuan itu, tapi sehingga sekarang masih terbayang wajah anak murid saya itu dan juga ibunya. Seorang ibu yang hanya berharap anaknya mengenal huruf dan dapat bergaul dengan anak-anak yang lain. Tetapi murid kami ini sangat bijak, di usia 5 tahun sudah membaca sehingga Read Easy dan kehadirannya senantiasa dinanti oleh rakan sekelas dan juga kami para guru. Rakan-rakan sekelas juga sudah faham jadual persekolahannya, hari Rabu dia takkan hadir kerana ada slot di hospital.  

Bagi anak-anak yang istimewa ini, kami akan hubungi ibu bapa untuk hadir ke tadika untuk membincangkan berkenaan anak-anak mereka. Maafkan kami jika ada di antaranya yang terpaksa kami berhentikan kerana kami tidak dapat memberi khidmat yang terbaik, tiada di kalangan kami yang pakar dalam mendidik anak-anak ini. Keselamatan mereka keutamaan kami. Bimbang jika berlaku apa-apa ketika sesi P&P sedang berjalan.  

Sesungguhnya, kami amat memandang tinggi dan hormat ibu bapa sebegini. Masa 3 jam ketika anak-anak ini di tadika sudah cukup membuat kami turut merasa mencabarnya menjaga anak-anak istimewa ini. Bayangkan mereka yang menjaga mereka setiap hari di rumah, pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi. Hats off!

Jika suatu masa dahulu, kami akui kami kurang pengetahuan dan pendedahan berkenaan dengan anak-anak istimewa ini, tetapi Ahamdulillah sekarang ini dengan perkongsian yang kami perolehi dari media massa, pihak autoriti dan juga para ibu bapa yang arif dalam bidang ini, ianya membuka minda dan memberi lebih kefahaman kepada kami di MyBISTARI.

Kefahaman dan kesedaran inilah yang menyebabkan kami mengadakan Program Keibubapaan – Cabaran Pendidikan Anak Berkeperluan Khas pada hari Sabtu, 28hb Ogos yang lalu. Kami amat berharap dengan adanya program sebegini, lebih membuka minda kita semua berkenaan hal-hal yang terkait dengan anak-anak ini.

Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada Puan Hasniza Binti Che Mat, guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort kerana sudi berkongsi ilmu dengan kami dan para penonton. Terima kasih juga kepada dua ibu yang sangat hebat, Puan Janariah Binti Mat Amin dan Puan Maizan Binti Abd, Hamid atas perkongsian pengalaman menjaga dan membesarkan anak-anak berkeperluan khas. Program yang diadakan secara langsung di Youtube, Alhamdulillah dapat berjalan dengan lancar dan baik. Maaf sekiranya sepanjang acara berlangsung terdapat beberapa kesilapan teknikal yang tak dapat kami jangkakan.

Di sini kami kongsikan beberapa gambar sepanjang program ini berlangsung.

Bismillahirrahmanirrahim. Program pun bermula.


Pemudahcara majlis program, Cikgu Noor Faridah.


Ucapan alu-aluan dari Founder MyBISTARI GROUP, Puan Zainun Mat Lazim.


Puan Hasniza Che Mat, guru pendidikan khas, SK Tanjung Puteri Resort.


Puan Noor Suhaila, selaku moderator program.


Terima kasih Puan Maizan kerana sudi berkongsi pengalaman dengan kami.


Perkongsian dari Pn Janariah amat kami hargai.

Antara ilmu yang dikongsikan ketika program.
















Bagi yang terlepas untuk turut serta menonton atau yang ingin menonton semula program ini, sila klik di pautan yang kami sertakan di sini.


Semoga dengan perkongsian ini lebih membuka minda kita dan menciptakan kepekaan kita terhadap anak-anak berkeperluan khas ini. Mereka juga anak-anak yang hebat seperti kanak-kanak yang lainnya. Dan sememangnya bagi kami, 'Anak-anak Istimewa buat Ibu Bapa yang Istimewa'.

Dalam pada itu, kekallah duduk di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar. Sekiranya perlu untuk keluar, berhati-hati, jaga SOP yang telah diberikan. Kes di sekitar Pasir Gudang amatlah membimbangkan. Sekiranya ada di kalangan kita yang terlibat dengan pandemik ini, positif Covid 19 atau hal-hal lain yang berkaitan dengannya, sama-samalah kita berdoa agar diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan. Jangan lupa bantu mereka yang memerlukan. Bagi anak-anak murid semua, kami para guru amatlah berharap agar diberi kesempatan untuk berjumpa lagi di tadika masing-masing. Rajin-rajin zikir dan berselawat ya! Bantu ibu dan ayah. Kita ingat Allah, pasti Allah akan jaga kita.

~Cikgu Norifah~








































 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon