 |
| Poster Pertandingan Sempoa, Congak & Speed Cups 2026 |
Sempoa, Congak & Speed Cups: Si Cilik Hebat Beraksi di Pentas Besar!
Alhamdulillah, pada Ahad, 27 September 2026, berlangsungnya satu program yang sememangnya dinanti-nantikan sepanjang tahun — Pertandingan Sempoa, Congak & Speed Cups 2026! Program ini bukan sahaja menjadi salah satu tarikan istimewa Tadika Hebat MyBistari, malah menjadi pentas untuk menguji kepantasan, ketepatan, fokus dan keberanian si cilik hebat dalam menunjukkan kemahiran yang telah dipelajari sepanjang tahun.
Sempoa dan congak sememangnya sudah sinonim dengan pembelajaran di MyBistari. Namun, setelah sekian lama pertandingan Speed Cups tidak diadakan, tahun ini kami bawakan kembali kategori tersebut dengan satu matlamat — memberi peluang kepada murid 5 tahun untuk tampil berdiri di pentas besar, menguji ketangkasan mereka dan merasai sendiri pengalaman menyertai sebuah pertandingan di hadapan tetamu dan penonton.
Antara soalan yang sering ditanya melalui siaran langsung pertandingan ialah, “Bagaimana pemilihan murid dibuat untuk menyertai pertandingan ini?”
Jawapannya, pemilihan bukan dibuat secara rawak. Setiap peserta dipilih berdasarkan prestasi dan pencapaian murid sepanjang latihan di tadika masing-masing. Guru besar cawangan kemudiannya akan membuat saringan dalam kalangan murid yang terpilih sebelum peserta terbaik dipilih untuk berentap di pentas pertandingan, tentunya dengan persetujuan daripada ibu bapa.
Begitulah juga format pemilihan yang kami gunakan untuk setiap program pertandingan yang dianjurkan. Kami mahu memastikan murid yang mewakili cawangan benar-benar bersedia, mempunyai keyakinan dan mampu memberikan yang terbaik apabila berada di pentas pertandingan.
Keterujaan jelas terpancar daripada para tetamu dan penonton yang hadir. Si cilik hebat seawal usia 6 tahun tampil menjawab soalan congak dengan begitu pantas, termasuk soalan melibatkan nombor ratus dan ribu. Lebih mencabar apabila soalan dibacakan dengan pantas oleh pembaca soalan. Namun, dengan latihan yang telah dilalui, mereka tetap fokus dan pantas memberikan jawapan.
Tidak kurang menariknya aksi murid 5 tahun dalam kategori Speed Cups. Dengan penuh fokus, tangan kecil mereka ligat menyusun cawan mengikut turutan yang ditetapkan. Setiap saat begitu berharga dan setiap susunan memerlukan ketepatan serta koordinasi yang baik.
Bukan sahaja si cilik yang menjadi perhatian, kategori ibu bapa turut mencuri tumpuan! Gelagat ibu dan ayah yang menyertai pertandingan ternyata menceriakan suasana.
Malah, ada yang sudah memberikan “warning” awal-awal kepada pembaca soalan:
“Jangan baca laju ya… risau sempoa terbang nanti!”
Hihihi! Begitulah gelagat ibu ayah yang turut sama mencuba nasib di pentas pertandingan. Bukan sekadar bertanding, tetapi menjadi kenangan manis apabila ibu bapa dapat merasai sendiri pengalaman yang biasanya dilalui oleh anak-anak mereka.
Alhamdulillah, secara keseluruhannya program ini berjalan dengan lancar. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang yang telah menunjukkan usaha, fokus dan semangat juang yang luar biasa.
Buat peserta yang belum berjaya membawa pulang kemenangan, jangan berputus asa! Ini baru permulaan. Kemenangan hari ini bukanlah ukuran kepada sejauh mana kejayaan anak-anak pada masa akan datang. Yang lebih penting, mereka sudah berani mencuba, berani berdiri di atas pentas dan berani bersaing.
Mana tahu, dengan jalan yang kami buka ini, pengalaman pertama di pentas MyBistari menjadi langkah awal untuk si cilik hebat terus mencuba pelbagai pertandingan di luar sana — seterusnya berani melangkah ke pertandingan di peringkat sekolah rendah, malah sekolah menengah suatu hari nanti.
Kerana bagi kami, menang kalah itu adat bertanding. Yang penting, keberanian untuk mencuba, pengalaman yang diperoleh dan keyakinan yang dibina.
Dan pastinya, tiada peserta yang pulang dengan tangan kosong. Setiap seorang membawa pulang pengalaman, kenangan, keyakinan dan satu lagi cerita hebat untuk dikenang.
Tahniah si cilik hebat! Terus berani mencuba, terus berani melangkah dan terus percaya pada kebolehan diri sendiri.
 |
| Guru persembahan persiapkan murid. |
 |
| Pemudah cara majlis—Cikgu Afiqah & Cikgu Juliana. |
 |
| Ucapan perasmian oleh Pengurus Operasi MyBistari — Pn Suhaila. |
 |
| Ceria di pagi hari adik-adik speed cups! |
 |
| Peserta congak 6 tahun. |
 |
| Peserta kategori ribu 6 Bistari. |
 |
| Peserta kategori ratus 6 tahun. |
 |
| Barisan pembaca soalan dan pengacara majlis. |
 |
Barisan penanda kertas. Wah! dapat kipas tangan la.
|
 |
| Pengadil yang menentukan jawapan yang diberikan betul atau salah. |
 |
| Fokus mendengar soalan, sambil tangan laju gerakkan manik. |
 |
| Kategori congak, pantas mengira! |
 |
| Kategori speed cups, pantas tangan menyusun. |
 |
| Persembahan lagu rancak sememangnya memberi vibes luar biasa. |
 |
| Tengok-tengok apa tu? |
 |
| Peserta sempoa kategori ibu bapa. |
 |
| Fokus kira masing-masing. |
 |
| Wah! pakaian tema retro, agaknya tarian lagu apa yang bakal dipersembahkan nanti. |
 |
| Perhatikan mana dan baca jawapannya dengan betul. |
 |
Gambar speed cups — peserta perlu menyusun cawan mengikut warna yang ditunjukkandi dalam gambar. |
 |
| Peringkat akhir kategori congak. |
 |
| Peringkat akhir Kategori sempoa ratus. |
 |
| Peringkat akhir kategori ribu 6 Bistari. |
 |
| Peringkat akhir ibu bapa vs anak murid. |
 |
| Pn Zainun membaca soalan ratus untuk kategori ibu bapa vs anak murid. |
 |
| Persembahan terakhir Hoore! Hoore! |
 |
| Terima kasih ibu-ibu yang terpilih untuk menjadi juri. |
 |
Pemenang kategori sempoa ratus ibu bapa vs murid.
|
 |
| Pemenang kategori ribu 6 Bistari. |
 |
| Pemenang kategori ratus 6 tahun. |
 |
| Pemenang kategori congak. |
 |
| Pemenang kategori speed cups. |
 |
| Kaum bapa menjuarai kategori ibu bapa. |
Alhamdulillah, terima kasih kepada semua ibu bapa, guru-guru dan tetamu yang telah bersama-sama menjayakan Pertandingan Sempoa, Congak & Speed Cups 2026. Semoga pengalaman ini menjadi pembakar semangat buat si cilik hebat untuk terus melangkah dengan yakin, berani mencuba dan tidak mudah mengalah.
Ingatlah, kejayaan bukan hanya tentang siapa yang berdiri di tempat pertama, tetapi siapa yang berani mencuba dan terus berusaha menjadi lebih baik. 🌟
Semoga langkah kecil di pentas MyBistari hari ini menjadi permulaan kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Insya-Allah, kita jumpa lagi di pertandingan akan datang!
Sekian, terima kasih. 🌹
FROM ZERO TO HERO
Bersatu untuk Mendidik
~Cikgu Azreen~