Friday, August 7, 2026

ANAK HEBAT, BERANI & KREATIF!

 

Taklimat sebelum raptai bermula.

Pertandingan Uji Minda, Bercerita & Lego 2026: Sebuah Kenangan Bermakna Buat Anak-Anak MyBistari

Pada 26 Julai 2026 (Ahad), telah berlangsungnya Pertandingan Uji Minda, Bercerita & Lego 2026 yang menghimpunkan anak-anak hebat MyBistari dalam suasana yang cukup meriah dan penuh semangat. Program ini merupakan antara pertandingan yang menjadi rutin tahunan MyBistari dan sentiasa dinanti-nantikan oleh anak-anak, guru-guru serta ibu ayah. Sebelum pertandingan berlangsung, raptai penuh telah diadakan pada 25 Julai 2026 (Sabtu) sebagai persediaan terakhir bagi memastikan perjalanan program pada hari pertandingan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Alhamdulillah, sewaktu raptai penuh berlangsung, semuanya berjalan dengan sangat lancar. Setiap perjalanan program dapat dilaksanakan seperti yang dirancang dan tiada sedikit pun permasalahan dari segi teknikal. Kami melihat semuanya berjalan dengan smooth dan hati juga terasa lebih tenang apabila melihat persediaan yang telah dilakukan bersama oleh para guru dan anak-anak.

Namun, kita merancang, Allah sebaik-baik Perancang. Pada hari pertandingan, kami diuji dengan sedikit permasalahan teknikal yang tidak dijangka. Cabaran tersebut turut mendapat perhatian daripada netizen yang mengikuti siaran langsung di TikTok. Kami menerima segala teguran, pandangan dan komen daripada ibu ayah dengan hati yang terbuka. Kami memahami bahawa setiap ibu ayah mahukan yang terbaik untuk anak-anak dan sudah pastinya setiap teguran diberikan kerana mereka mengambil berat tentang perjalanan program yang melibatkan anak-anak mereka.

Bagi pihak MyBistari, kami ingin mengucapkan terima kasih atas setiap teguran dan pandangan yang diberikan. Kami tidak melihatnya sebagai sesuatu yang perlu dipatahkan semangat, sebaliknya kami mengambil setiap teguran sebagai satu peluang untuk belajar dan menambah baik pertandingan yang telah menjadi rutin kami setiap tahun. Setiap program pasti mempunyai ruang untuk diperbaiki dan pengalaman ini akan menjadi salah satu pembelajaran penting buat kami untuk memastikan program-program akan datang dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Walaupun berdepan dengan sedikit cabaran teknikal, Alhamdulillah pertandingan bercerita dan pertandingan Lego tetap berjalan dengan lancar dan meriah. Bagi pertandingan bercerita, anak-anak tampil di hadapan orang ramai dengan penuh keyakinan dan keberanian. Mereka menyampaikan cerita masing-masing dengan bersungguh-sungguh, malah tampil dengan kostum dan pakaian yang menarik sehingga menjadikan suasana pertandingan lebih ceria dan menyeronokkan. Melihat anak-anak kecil ini mampu berdiri di hadapan khalayak ramai dan menyampaikan cerita dengan berani sememangnya menjadi satu perkara yang cukup membanggakan.

Begitu juga dengan pertandingan Lego, anak-anak si cilik menunjukkan kreativiti masing-masing melalui pelbagai binaan Lego yang cukup menarik. Setiap peserta hadir dengan idea dan imaginasi tersendiri untuk menghasilkan binaan mereka. Daripada kepingan-kepingan Lego yang kecil, anak-anak berjaya menghasilkan pelbagai bentuk binaan yang menunjukkan daya kreativiti, pemikiran dan kesungguhan mereka. Pastinya, setiap hasil binaan mempunyai cerita dan usaha tersendiri di sebaliknya.

Dalam setiap pertandingan, menang dan kalah sememangnya adat bertanding. Namun, bagi kami, nilai sebenar pertandingan bukan hanya terletak pada siapa yang mendapat tempat pertama, kedua atau ketiga. Yang lebih penting ialah keberanian anak-anak untuk mencuba, kesungguhan mereka memberikan yang terbaik dan keyakinan mereka untuk berdiri di hadapan orang ramai. Mungkin ada yang pulang dengan kemenangan, namun setiap peserta sebenarnya telah memenangi sesuatu yang lebih besar iaitu pengalaman, keberanian dan keyakinan dalam diri mereka.

Alhamdulillah, semua anak-anak telah melakukan yang terbaik dan berani mencuba. Pastinya semua akan membawa pulang trofi sebagai tanda penghargaan atas usaha dan keberanian mereka. Termasuklah murid-murid yang terlibat dalam persembahan, mereka juga tidak pulang dengan tangan kosong. Kami mahu setiap anak-anak merasakan bahawa kehadiran, usaha dan sumbangan mereka dalam menjayakan program ini amat dihargai. Kerana setiap anak adalah istimewa dan setiap usaha mereka layak diraikan.

Tahniah diucapkan kepada semua para pemenang Pertandingan Uji Minda, Bercerita & Lego 2026! Tahniah juga buat semua peserta yang telah memberikan yang terbaik sepanjang pertandingan. Tidak lupa juga kepada anak-anak yang terlibat dalam persembahan kerana telah menceriakan lagi suasana program. Kami amat berbangga melihat keberanian, keyakinan, kreativiti dan semangat yang ditunjukkan oleh anak-anak semua.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada semua ibu ayah yang sudi hadir untuk memeriahkan program ini. Kehadiran dan sokongan ibu ayah pastinya memberikan semangat yang besar kepada anak-anak. Terima kasih kerana sentiasa menjadi penyokong kuat buat anak-anak hebat MyBistari, memberikan kata-kata semangat, hadir memberikan sokongan dan bersama-sama meraikan setiap pencapaian mereka. Sokongan ibu ayah mungkin kelihatan kecil pada pandangan kita, tetapi bagi anak-anak, ia memberikan keyakinan yang sangat besar.


Vibes latihan di tadika dan di atas pentas sangat berbeza.

Raptai pertandingan uji minda berjalan lancar.

Raptai sahaja props dah meriah, belum lagi memakai kostumnya sekali.

Dekorasi pentas dari Pn. Suhaila.

Alhamdulillah selesai untuk full rehearsal.

Seawal pagi sudah datang di Atrium Kompleks Pusat Bandar.

Gandingan pengacara majlis Cikgu Syafini dan Cikgu Aina.

Pn Zainun bersama anak perempuan ketiganya Cikgu Amira Syafiqah.

Ucapan perasmian dari founder MyBistari Pn. Zainun.

Persembahan pembukaan dari si cantik TH Pintar.

Lintas langsung pertandingan lego dikendalikan oleh Cikgu Juliana.

Setiap lego perlu dihabiskan.

Wah! panjangnya buat kereta api ke tu?

Cucu founder pun masuk bertanding. Good Job Auf!

Semua dah ready?

Santai-santai sahaja, masa diberikan selama 45 minit.

Milik siapa reka cipta lego yang juri pilih ni?

Pembaca-pembaca soalan untuk pertandingan uji minda.


Juri pertandingan uji minda.

Peserta kategori Bahasa Melayu & Sains.

Peserta Kategori Jawi & Pendidikan Islam.

Peserta Kategori Matematik.

Peserta kategori English.

Peserta yang berjaya ke peringkat separuh akhir pusingan 1, 
pemilihan hanya 3 orang sahaja untuk ke peringkat akhir

Pusingan kedua separuh akhir.

Peringkat akhir pertandingan uji minda.

Peserta pertama pertandingan bercerita wakil dari TH Minda.
Satu-satunya peserta yang pertaruhkan cerita dalam bahasa inggeris.

Peserta kedua wakil dari TH Intelek dengan tajuknya Arnab Yang Cerdik.

Peserta ketiga dari TH Bijaksana dengan tajuknya Raja Rimba dan Hero Kecil.

Wakil dari TH Genius tampil dengan cerita Sang Kancil dan Sang Buaya.

Kisah Akal Cerdas Sang Gagak disampaikan oleh wakil dari TH Inovasi.

Kostum burung merak yang menarik perhatian ramai.
Wakil dari TH Jaya dengan tajuknya Burung Merak Yang Sombong.

Wakil dari TH Pintar bercerita tentang Sang Lebah dan Madunya.

Wakil dari TH Cemerlang pula bercerita tentang Burung Kecil Yang Berani.

Kisah Si Tanggang yang memikat hati juri-juri untuk memberikan gelaran juara
untuk wakil peserta dari TH Ilmu.

Pencatat markah sentiasa bersedia untuk menulis markah.


Pn. Norafizah membaca soalan separuh akhir saringan 1 & 2.



Pn. Zainun tidak lepas peluang untuk membaca soalan peringkat akhir.

Persembahan selingan yang mencuit hati para penonton.
Jungle Safari dari si cilik hebat ilmu.

Murid yang masuk persembahan dapat medal juga.

Milik siapa trofi-trofi ini?

Tahniah kepada pemenang pertandingan lego.
Johan- Muhammad Aryan Bin Muhammad Fahmi (TH Pintar)
Naib Johan- Anggun Ayana binti Mohd Arif (TH Pintar)
Ketiga- Erza binti Faezin (TH Ilmu)

Tahniah diucapkan kepada pemenang pertandingan bercerita.
Johan- Iris Nur Zuhaira binti Mohd Khairol (TH Ilmu)
Naib Johan- Aminah Munawwarah binti Mohd Fahmizani (TH Jaya)
Ketiga- Nur Medeena Ayesha binti Muhamad Farri (TH Minda)

Tahniah juga buat adik-adik yang memenangi pertandingan uji minda.
Johan- Muhammad Izz Khalish bin Mohammad Faizal (TH Minda)
Naib Johan-Nur Airish Airiesyah binti Mohamad Shahredha (TH Bijaksana)
Ketiga- Aishwa Nuwaira Nahla binti Muhamad Halim (TH Cemerlang)

Alhamdulillah, selesai sudah satu lagi program pertandingan MyBistari bagi tahun 2026. Setiap perjalanan yang dilalui, sama ada yang lancar mahupun cabaran yang tidak dijangka, pastinya memberikan pengalaman dan pengajaran yang amat bermakna buat kami. Kami akan terus belajar, memperbaiki kelemahan dan berusaha memberikan pengalaman yang terbaik buat anak-anak dan ibu ayah.

InshaAllah, kita akan berjumpa lagi dalam program pertandingan seterusnya iaitu Pertandingan Sempoa & Congak pada bulan September nanti. Semoga anak-anak terus berani mencuba, yakin melangkah dan tidak takut untuk menunjukkan kebolehan mereka. Kerana setiap kali mereka berani mencuba, mereka sebenarnya sedang membina satu keyakinan baharu dalam diri mereka. Teruskan bersinar, anak-anak hebat MyBistari! 

Sekian, terima kasih.🌹

FROM ZERO TO HERO
(Bersatu untuk Mendidik)

~Cikgu Azreen~

0 comments:

Post a Comment

 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon