Friday, August 14, 2026

SATU HARI SERIBU KENANGAN!

 

Melihat haiwan unggas dengan lebih dekat.


Coretan Lawatan Si Cilik Hebat ke Desaru Mini Zoo & Mutiara Bay

Setiap tahun, menjadi rutin buat kami membawa si cilik hebat keluar seketika daripada suasana pembelajaran di dalam kelas untuk menikmati pengalaman belajar yang berbeza. Bukan sekadar melihat dan mendengar, tetapi merasai sendiri pengalaman, meneroka dunia luar dan mencipta kenangan bersama rakan-rakan.

Pada tahun ini, sekali lagi si cilik hebat 6 tahun dibawa menyertai lawatan ke Desaru Mini Zoo dan Mutiara Bay pada 8 Ogos 2026. Menariknya, ini merupakan tahun keempat kami menjadikan Desaru Mini Zoo sebagai salah satu destinasi lawatan untuk anak-anak 6 tahun.

Walaupun sudah empat tahun berkunjung ke destinasi yang sama, setiap tahun tetap ada sesuatu yang baharu. Ada perubahan, penambahan fasiliti dan pengalaman yang berbeza untuk dinikmati oleh anak-anak. Tahun ini, antara yang menarik perhatian si cilik hebat ialah penambahan playground serta kemudahan kereta api yang boleh dinaiki oleh anak-anak. Sudah tentu wajah masing-masing terus berseri apabila melihat kemudahan baharu tersebut!

Namun, tarikan utama tetap sama — dapat melihat haiwan dengan lebih dekat. Aktiviti memegang haiwan dan memberi haiwan makan menjadi antara pengalaman yang paling dinantikan. Ada yang begitu berani mendekati haiwan, ada yang perlahan-lahan mencuba dan ada juga yang hanya berani melihat dari jauh. Inilah gelagat si cilik hebat yang mencuit hati!

Untuk lawatan kali ini, seramai 189 orang murid dan 41 orang guru pengiring telah menyertai lawatan. Walau bagaimanapun, di saat-saat akhir, terdapat beberapa orang murid yang tidak dapat bersama-sama menyertai lawatan atas faktor kesihatan.

Tidak mengapalah, yang penting setiap anak yang telah mendaftar untuk lawatan ini tetap menerima    T-shirt eksklusif, key chain sempena lawatan serta goodies makanan yang telah kami sediakan. Insya-Allah, apabila sudah sihat nanti, bolehlah ajak ibu ayah datang ke Desaru Mini Zoo untuk meneruskan pengalaman yang terlepas pada kali ini.

Sepanjang berada di zoo, pelbagai gelagat anak-anak dapat dilihat. Ada yang berani, ada yang takut-takut, dan ada juga yang boleh dikategorikan sebagai berani-berani lalat! 😄 Tetapi itulah warna-warni sebuah pengalaman. Yang penting, anak-anak berani mencuba dan menikmati setiap detik bersama rakan-rakan.

Bukan anak-anak sahaja yang teruja. Ibu ayah yang mengikuti live TikTok kami dari jauh juga turut sama merasai keseronokan melihat gelagat dan keterujaan anak-anak meneroka dunia haiwan. Walaupun tidak berada bersama secara fizikal, sekurang-kurangnya ibu ayah dapat melihat wajah ceria si cilik hebat sepanjang aktiviti berlangsung.

Setelah lebih kurang 3 jam meneroka Desaru Mini Zoo, tibalah masanya untuk kami beralih ke destinasi seterusnya, iaitu Mutiara Bay. Di sini, anak-anak berpeluang berehat seketika, menikmati makan tengah hari sambil menghirup udara segar pantai.

Menu makan tengah hari kali ini ialah nasi goreng Cina, nugget dan buah tembikai, kemudian ditambah pula dengan aiskrim Malaysia untuk basah tekak. Nampak sahaja makanan, terus hilang penat seketika! 

Selesai makan, anak-anak tidak terus berehat. Mereka diberikan pula 10 soalan kuiz berkaitan haiwan-haiwan yang telah mereka lihat di zoo tadi. Aktiviti ini menjadi salah satu cara untuk melihat sejauh mana anak-anak mengingati pengalaman dan pengetahuan yang telah diperoleh sepanjang lawatan.

Tahniah kepada semua pemenang kuiz! Bukan itu sahaja, 3 orang murid turut dipilih untuk berkongsi cerita dan pengalaman mereka sepanjang berada di Desaru Mini Zoo. Seronok melihat anak-anak cuba bercerita semula tentang apa yang mereka lihat, haiwan yang mereka jumpa dan pengalaman yang paling mereka sukai.

Tahniah semua! Keberanian untuk tampil ke hadapan dan berkongsi pengalaman juga merupakan satu pembelajaran yang sangat bermakna.

Setelah semua aktiviti selesai, tiba masanya untuk kami bertolak pulang ke tadika masing-masing.

Kalau perjalanan pergi tadi dipenuhi dengan suara riuh-rendah si cilik hebat, gelak tawa dan cerita yang tidak habis-habis, perjalanan pulang pula berubah suasana menjadi sunyi sepi. Masing-masing sudah kepenatan selepas seharian meneroka dan bermain. Ada yang bersandar, ada yang terlentuk dan akhirnya tertidur lena sepanjang perjalanan pulang. Itulah tanda betapa seronoknya lawatan kali ini!

Alhamdulillah, perjalanan lawatan pada tahun ini berjalan dengan lancar dan semua rombongan tiba di tadika masing-masing dengan selamat.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu ayah yang memberikan peluang dan kepercayaan kepada si cilik hebat untuk menyertai lawatan kali ini. Setiap pengalaman yang anak-anak lalui hari ini mungkin nampak kecil, tetapi suatu hari nanti ia akan menjadi sebahagian daripada memori indah zaman kanak-kanak mereka.

Kerana bagi kami, lawatan bukan sekadar berjalan-jalan.

Ia adalah peluang untuk anak-anak melihat, mencuba, belajar, berani dan mencipta kenangan bersama.

Semoga pengalaman di Desaru Mini Zoo dan Mutiara Bay kali ini menjadi satu lagi koleksi kenangan manis buat si cilik hebat 6 tahun.

Alhamdulillah untuk sebuah perjalanan, sebuah pengalaman dan seribu satu cerita. 

Jumpa lagi di lawatan akan datang, si cilik hebat! 


Beg tak perlu bawa, sebab cikgu bagi string bag dan bekalan makanan.

Pengalaman menaiki bas bersama kawan-kawan dan guru.

Alhamdulillah selamat tiba di lokasi.

Beratur dulu sebelum mulakan tour.

Wah! banyaknya ikan.

Capibara pun ada tau.

Berebut nak bagi makan.

Masing-masing takut nak pegang haiwan ni. Hihi

Hati-hati jangan rapat sangat nanti kena patuk.

Besarnya ayam.

Sekeping gambar tersimpan seribu memori.

Besar-besar tikus belanda di zoo ini.

Kuda makan apa tu?

Wah! comelnya anak itik ni.

Mesti balik tak berhenti cerita dapat pegang haiwan.

Hati-hati jangan sampai jatuh anak ayam tu.

Nak berjalan ke mana lagi tu?

Takut ke tu? Hihihi

Seronokkan dapat pegang haiwan.

Jom kita bagi makan burung unta pula.

Tak berani bagi makan pakai tangan, kita pakai gayung ya.

Teruja semua dapat melihat Alpaca dengan lebih dekat lagi.

Tempat-tempat bergambar pun banyak yang cantik-cantik.

Buaian panjang yang boleh duduk beramai-ramai ada di sini.

Bestnya dapat naik kereta api.

Snow White dan tujuh orang kerdil pun ada di sini.

Bergambar dengan cendawan pun boleh.

Sudah puas tengok haiwan, jom kita bermain di playground.

Seronoknya healing bersama kawan-kawan.

Besarnya dinasor, nasib replika sahaja. Hihihi

Wah! naik buggy untuk pergi ke bas.

Buah fresh kami potong di Mutiara Bay.


Yeah dah sampai laut.

Indah pemandangan pantai.

Bertiga sahaja wakil murid dari TH Kreatif.

Sebelum makan baca doa dahulu.

Jom makan!

Nikmat makan bersama kawan-kawan.

Seronok healing tepi pantai.
 
Cuaca tengah panas sedapnya makan aiskrim.

Sejukkan tekak dulu.

Tahniah dapat menjawab kuiz dengan betul.


Tersenyum semuanya dapat hadiah.

Tahniah atas keberanian untuk kehadapan bercerita tentang pengalaman.

Masa untuk balik.

Penat sangat ni. Hihihi

Macam-macam gaya bila sudah keletihan.

Alhamdulillah, perjalanan lawatan pada tahun ini berjalan dengan lancar dan semua rombongan tiba di tadika masing-masing dengan selamat.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu ayah yang memberikan peluang dan kepercayaan kepada si cilik hebat untuk menyertai lawatan kali ini. Setiap pengalaman yang anak-anak lalui hari ini mungkin nampak kecil, tetapi suatu hari nanti ia akan menjadi sebahagian daripada memori indah zaman kanak-kanak mereka.

Kerana bagi kami, lawatan bukan sekadar berjalan-jalan.

Ia adalah peluang untuk anak-anak melihat, mencuba, belajar, berani dan mencipta kenangan bersama.

Semoga pengalaman di Desaru Mini Zoo dan Mutiara Bay kali ini menjadi satu lagi koleksi kenangan manis buat si cilik hebat 6 tahun.

Alhamdulillah untuk sebuah perjalanan, sebuah pengalaman dan seribu satu cerita. 

Jumpa lagi program seterusnya!

Sekian, terima kasih.🌹

FROM ZERO TO HERO                                                                                                                            (Bersatu untuk Mendidik)

~Cikgu Azreen~


0 comments:

Post a Comment

 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon