Monday, February 2, 2026

HARI PERTAMA SEKOLAH PENUH CERITA!

Hari pertama bermacam ragam anak-anak.

Hari Pertama Sesi Persekolahan 2026 bermula...

Murid 5 & 6 Tahun | 13 Januari 2026

Alhamdulillah, sesi persekolahan bagi murid 5 dan 6 tahun bagi tahun 2026 telah bermula pada                13 Januari 2026, lewat satu hari berbanding tarikh rasmi pembukaan sesi persekolahan KPM.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini yang biasanya dimulakan lebih awal, pada tahun ini kami mengambil keputusan untuk memulakan sesi persekolahan sehari lewat. Hal ini mengambil kira tempoh cuti persekolahan yang agak singkat, di samping komitmen kami melaksanakan program pratadika. Selain itu, kami juga ingin memberi ruang dan laluan kepada ibu dan ayah untuk menguruskan hari pertama persekolahan anak-anak yang lain pada 12 Januari 2026.

Alhamdulillah, pada hari pertama sesi persekolahan, kehadiran murid bersama ibu dan ayah disambut dengan penuh mesra oleh guru-guru di setiap cawangan. Seperti yang dijangka, pelbagai ragam si cilik hebat dapat dilihat — ada yang teruja dan tidak sabar untuk ke kelas, ada yang menangis berpisah dengan ibu dan ayah, dan ada juga yang malu-malu sambil memerhati suasana baharu.

Setiap tadika mempunyai suasana dan cerita tersendiri. Saya sendiri berkesempatan menziarahi bangunan baharu Tadika Hebat Kreatif di Bistari Perdana. Alhamdulillah, suasana di sana sangat tenang dan damai, tanpa kedengaran suara tangisan anak-anak. Sesi perkenalan berjalan dengan lancar dan anak-anak cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Di tadika-tadika lain pula, suasananya sedikit berbeza. Kedengaran suara tangisan si kecil yang mencari ibu dan ayah, ada juga yang hanya menitiskan air mata tanpa suara — satu pemandangan yang cukup biasa dan sangat menyentuh hati pada hari pertama persekolahan.

Bukan sahaja ragam anak-anak yang mencuri perhatian, malah ragam ibu dan ayah juga turut menyentuh perasaan para guru. Terutamanya bagi ibu dan ayah yang pertama kali menghantar anak ke sekolah — ada yang tidak dapat menahan air mata sebak apabila melihat si manja yang dahulu kecil kini sudah melangkah ke alam persekolahan.

Fasa demi fasa akan ditempuhi…
Ini hanyalah langkah pertama dalam perjalanan panjang pendidikan anak-anak.

Semoga semua anak-anak ini membesar menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.


Hari pertama sahaja ibubapa boleh hantar sehingga ke dalam kelas.

Cerianya hari pertama sekolah!

Tahun baru, jumpa kawan baru.

Behave si cilik 5 tahun hari pertama.

Sesi perkenalkan diri hari pertama masih malu-malu.

6 tahun si cilik hebat tampil lagi berani.

Cikgu terangkan cara penggunaan tandas.

Steady tak menangis hari pertama.



Hasil kraftangan hari pertama- crown.

Fokus mewarna.

Macam-macam gaya! comel.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada ibu dan ayah yang sudi memberi kepercayaan penuh kepada kami untuk membimbing anak-anak dalam pendidikan awal kanak-kanak. Semoga kerjasama yang terjalin ini dapat diteruskan demi membentuk generasi yang berilmu, berakhlak dan terus cemerlang.


Sekian, terima kasih 🌹


FROM ZERO TO HERO

(Bersatu untuk Mendidik)

~Cikgu Azreen~

Friday, January 16, 2026

PENUTUP SESI 2025 KENANGAN MANIS SI CILIK HEBAT!

 

Meriah pentas.

21 Disember 2025 tercipta sebagai satu tarikh penuh senyuman, tepukan dan air mata gembira apabila Hari Anugerah Cemerlang 2025 berlangsung dengan begitu meriah dan bermakna.

Majlis ini dianjurkan khas untuk meraikan usaha dan pencapaian luar biasa para pelajar sepanjang sesi persekolahan 2025. Setiap anugerah yang disampaikan bukan sekadar hadiah, tetapi tanda penghargaan atas kesungguhan, keberanian dan semangat belajar si cilik hebat.

Hari Anugerah Cemerlang ini memberi pengiktirafan kepada pelajar yang cemerlang dalam penilaian akhir tahun, selain meraikan pelajar 5 tahun yang berjaya menamatkan 3 siri buku bacaan dengan jayanya:

📘 Bacalah Anakku
📗 Read Easy Beginner
📙 Jawi Al-Fatih

Kejayaan ini pastinya membanggakan bukan sahaja anak-anak, malah ibu bapa dan guru-guru yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan mereka.

Lebih manis, tahun ini pihak pengurusan dan founder dengan penuh rasa bangga telah memperkenalkan Anugerah Khas Tamat Bacalah Anakku khusus untuk pelajar 4 tahun.

Seramai 5 orang si cilik hebat telah terpilih menerima anugerah ini sebagai pengiktirafan awal terhadap kebolehan membaca mereka. Hebat sungguh anak-anak kecil ini! Tahniah diucapkan 

Majlis bertambah ceria dengan pelbagai persembahan kreatif daripada pelajar 6 tahun yang berjaya mencuri tumpuan dan tepukan gemuruh penonton, antaranya:

💃 Zapin
🎶 Nasyid
🩰 Tarian tradisional & moden
🤸 Senamrobik
🎭 Pantomim
🎼 Muzikal drama
🎤 Koir
✨ Dan banyak lagi persembahan menarik

Setiap persembahan jelas mempamerkan keyakinan, bakat dan perkembangan sahsiah si cilik hebat yang dibentuk sepanjang berada di tadika.

Hari Anugerah Cemerlang 2025 bukan sekadar majlis penyampaian anugerah, tetapi satu platform untuk menghargai setiap usaha kecil yang membawa kepada kejayaan besar.

Semoga kenangan indah ini menjadi pembakar semangat buat si cilik hebat untuk terus berani mencuba, belajar dengan gembira dan bersinar pada masa hadapan.

Tahniah kepada semua pelajar, guru dan ibu bapa.
Jumpa lagi di Hari Anugerah Cemerlang akan datang! 


Ibu ayah yang hadir perlu bawa kad jemputan untuk cabutan bertuah.


Isi perut dahulu sebelum naik ke pentas.

 
Pakai aksesori dahulu sebelum buat persembahan.


Fokus Cikgu Aqilah nak siapkan murid sebelum persembahan.


Bacaan doa wakil dari si cilik Tadika Hebat Intelek & Tadika Hebat Ilmu.

Emcees otai MyBistari Pn Norafizah & Pn Shawariah.

Ucapan perasmian oleh founder MyBistari, Pn Zainun.

Persembahan pembukaan Zapin Selamat Datang oleh si cilik Hebat Pintar.

Persembahan Nasyid yang menyentuh hati dari si cilik hebat Ilmu.

Penyampaian anugerah cemerlang.


Penyampaian anugerah khas bacalah 4 tahun.



Penampilan khas dari Fanpekka.

Seronoknya menari bersama tonti.


Bergaya masing-masing.

Persembahan drama muzikal bebas Palestin.

Comel!

Nice ending!

Ruangan photobooth juga disediakan.

Rotating 360 photobooth juga kami bawakan untuk ibu ayah abadikan kenangan.

Tamat sudah perjalanan triplet di MyBistari Group. Semoga kita dapat berjumpa lagi nanti.

Barisan guru-guru MyBistari yang teguh berdiri.

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih diucapkan kepada ibu ayah yang sudi meluangkan masa hadir dan memeriahkan Hari Anugerah Cemerlang 2025. Kehadiran dan sokongan anda menjadi suntikan semangat terbesar buat si cilik hebat.

Tahniah sekali lagi kepada semua si cilik hebat yang telah menerima anugerah — setiap kejayaan kecil hari ini adalah langkah besar untuk masa hadapan 🌟

Buat si cilik 6 tahun, selamat maju jaya melangkah ke fasa seterusnya. Teruskan berani bermimpi, belajar dan bersinar di mana sahaja berada.

Semoga kenangan indah ini kekal dalam ingatan, dan mudah-mudahan kita dapat berjumpa lagi suatu hari nanti 💐

Sekian, Terima Kasih 🌹

FROM ZERO TO HERO
(Bersattu untuk Mendidik)

~Cikgu Azreen~

Tuesday, December 16, 2025

JEJAK ILMU KE MELAKA ~ KURSUS PENATARAN KURIKULUM PRASEKOLAH 2026

Wakil MyBistari bergambar kenangan bersama barisan jurulatih KP 2026.

Kursus Penataran Kurikulum Prasekolah 2026

Pada tanggal 5 hingga 7 Disember 2025 yang lalu, barisan guru besar dan pengurusan MyBistari telah berpeluang menghadiri Kursus Penataran Kurikulum Prasekolah 2026 (KP 2026) yang dianjurkan oleh PPD Daerah Pasir Gudang bertempat di Swan Garden Resort Hotel, Melaka. Kursus intensif ini bertujuan memberi pendedahan, penjelasan, dan pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai perubahan besar dalam Kurikulum Prasekolah yang bakal dilaksanakan pada tahun 2026.

MyBistari diwakili oleh 10 orang peserta iaitu 6 orang Guru Besar daripada tadika-tadika hebat MyBistari dan 4 orang wakil pengurusan.

Kesungguhan dan komitmen mereka menjadi bukti bahawa MyBistari sentiasa bergerak seiring dengan transformasi pendidikan negara.

Walaupun berlangsung selama 3 hari, kursus ini langsung tidak membosankan. Barisan jurulatih terdiri daripada guru-guru sekolah rendah yang berpengalaman luas dalam bidang kurikulum dan pedagogi. Setiap sesi dipenuhi dengan idea-idea baharu, strategi kreatif, dan pendekatan inovatif untuk memperkukuh penyampaian pembelajaran di prasekolah.

Kami bukan sahaja memahami struktur dan hala tuju Kurikulum Prasekolah 2026, malah turut diberi inspirasi untuk menambah baik sistem pembelajaran sedia ada agar lebih relevan dan efektif.
Selama hampir 10 tahun, prasekolah di Malaysia menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) 2017. Namun, bermula tahun 2026, sistem ini berubah kepada Kurikulum Prasekolah 2026, yang membawa pembaharuan lebih holistik.

Walaupun perubahan ini dianggap drastik dan hanya berbaki beberapa minggu sebelum sesi baharu bermula, pihak MyBistari komited untuk menyesuaikan diri dengan segera demi memastikan matlamat KP 2026 tercapai.

Matlamat Kurikulum Prasekolah 2026:

Melahirkan murid yang:-
  • Sihat fizikal, mental dan kerohanian
  • Mampu berkomunikasi dan bersosialisasi
  • Berkeyakinan diri
  • Mempunyai keinginan belajar sepanjang hayat
Inilah hala tuju baharu yang akan MyBistari sematkan dalam setiap sesi pembelajaran tahun 2026 kelak.

Setiap kursus pasti mempunyai penghulu atau penghuluwati untuk mengurus perjalanan program. Tahun ini, sekali lagi, nama founder MyBistari — Pn. Zainun — dilantik sebagai Penghuluwati Program. Pelantikan ini membuktikan kepimpinan beliau diiktiraf bahkan di peringkat luar organisasi.
Nampaklah MyBistari terus ke hadapan!

Dalam menghadapi perubahan besar KP 2026, ibu ayah juga perlu bersedia. Sokongan di rumah akan membantu anak-anak mencapai potensi maksimum mengikut matlamat baharu kurikulum ini. Bersama-sama, kita membentuk generasi yang lebih yakin, kreatif, sihat dan bersedia menghadapi masa depan.

Team MyBistari sudah tiba di lokasi kursus.

Duduk dalam hall dulu sementara menunggu kaunter pendaftaran dibuka.

Barisan jurulatih kursus.

Tugasan pertama lengkapkan bingo, cari orang yang ada ciri yang diberikan.

Wah! Tahniah Cikgu Intan Syafiqah dan Cikgu Faridah selesaikan bingo yang paling banyak.

Penuh hall pengusaha dan guru tadika daerah Pasir Gudang berkumpul.


Pn Zainun dilantik sebagai penghuluwati kursus dan penolongnya Pn Wani dari Tadika Agama Johor.
Tak perlu disangkal lagi dengan lantikan ini, kerana Pn Zainun juga merupakan Pengerusi
Taskforce Tadika-Tadika Swasta Pasir Gudang di bawah seliaan Unit Swasta PPD Pasir Gudang.


Berpecahlah kami mengikut undian kumpulan yang dicabut.

3 orang wakil MyBistari dalam satu kumpulan.

Cikgu Amira & Cikgu Intan Syafiqah juga dapat satu kumpulan yang sama.

Bangga semua kraft belon menjadi.

Trademark kumpulan yang diwakili oleh Cikgu Najwa.

Masa yang sangat singkat 20 minit sahaja untuk siapkan tangram mini zoo.

Jurulatih menunjukkan contoh buku cerita yang praktikal untuk murid tadika.

Pengacara Majlis wakil dari MyBistari untuk Majlis Penutup kursus.

Kata-kata aluan dari penghuluwati kursus Pn Zainun.

Ucapan perasmian dari Encik Abd Halim 
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Sekolah)
Pasir Gudang.

Bonding malam terakhir di Melaka. Terima kasih Pn Zainun.

Perjalanan ke Melaka ini mungkin hanya berlangsung tiga hari, namun ilmu, pengalaman dan kesedaran yang kami bawa pulang akan terus hidup dalam setiap bilik darjah MyBistari. Kursus Penataran Kurikulum Prasekolah 2026 menjadi titik tolak kepada perubahan besar — bukan sekadar perubahan silibus, tetapi perubahan cara kami mendidik dengan lebih berjiwa, berfokus dan bererti.

Kami di MyBistari percaya, setiap perubahan adalah peluang untuk menjadi lebih baik. Dengan ilmu yang diperoleh, sokongan padu guru-guru, pengurusan dan kerjasama ibu ayah, kami melangkah ke tahun 2026 dengan penuh keyakinan.

Inilah komitmen kami — terus belajar, terus berubah dan terus ke hadapan demi melahirkan si cilik hebat yang seimbang dari segi fizikal, emosi, mental dan kerohanian.


Sekian, terima kasih 🌹

FROM ZERO TO HERO

(Bersatu untuk Mendidik)

~Cikgu Azreen~

 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon