Tuesday, December 16, 2025

JEJAK ILMU KE MELAKA ~ KURSUS PENATARAN KURIKULUM PRASEKOLAH 2026

Wakil MyBistari bergambar kenangan bersama barisan jurulatih KP 2026.

Kursus Penataran Kurikulum Prasekolah 2026

Pada tanggal 5 hingga 7 Disember 2025 yang lalu, barisan guru besar dan pengurusan MyBistari telah berpeluang menghadiri Kursus Penataran Kurikulum Prasekolah 2026 (KP 2026) yang dianjurkan oleh PPD Daerah Pasir Gudang bertempat di Swan Garden Resort Hotel, Melaka. Kursus intensif ini bertujuan memberi pendedahan, penjelasan, dan pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai perubahan besar dalam Kurikulum Prasekolah yang bakal dilaksanakan pada tahun 2026.

MyBistari diwakili oleh 10 orang peserta iaitu 6 orang Guru Besar daripada tadika-tadika hebat MyBistari dan 4 orang wakil pengurusan.

Kesungguhan dan komitmen mereka menjadi bukti bahawa MyBistari sentiasa bergerak seiring dengan transformasi pendidikan negara.

Walaupun berlangsung selama 3 hari, kursus ini langsung tidak membosankan. Barisan jurulatih terdiri daripada guru-guru sekolah rendah yang berpengalaman luas dalam bidang kurikulum dan pedagogi. Setiap sesi dipenuhi dengan idea-idea baharu, strategi kreatif, dan pendekatan inovatif untuk memperkukuh penyampaian pembelajaran di prasekolah.

Kami bukan sahaja memahami struktur dan hala tuju Kurikulum Prasekolah 2026, malah turut diberi inspirasi untuk menambah baik sistem pembelajaran sedia ada agar lebih relevan dan efektif.
Selama hampir 10 tahun, prasekolah di Malaysia menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) 2017. Namun, bermula tahun 2026, sistem ini berubah kepada Kurikulum Prasekolah 2026, yang membawa pembaharuan lebih holistik.

Walaupun perubahan ini dianggap drastik dan hanya berbaki beberapa minggu sebelum sesi baharu bermula, pihak MyBistari komited untuk menyesuaikan diri dengan segera demi memastikan matlamat KP 2026 tercapai.

Matlamat Kurikulum Prasekolah 2026:

Melahirkan murid yang:-
  • Sihat fizikal, mental dan kerohanian
  • Mampu berkomunikasi dan bersosialisasi
  • Berkeyakinan diri
  • Mempunyai keinginan belajar sepanjang hayat
Inilah hala tuju baharu yang akan MyBistari sematkan dalam setiap sesi pembelajaran tahun 2026 kelak.

Setiap kursus pasti mempunyai penghulu atau penghuluwati untuk mengurus perjalanan program. Tahun ini, sekali lagi, nama founder MyBistari — Pn. Zainun — dilantik sebagai Penghuluwati Program. Pelantikan ini membuktikan kepimpinan beliau diiktiraf bahkan di peringkat luar organisasi.
Nampaklah MyBistari terus ke hadapan!

Dalam menghadapi perubahan besar KP 2026, ibu ayah juga perlu bersedia. Sokongan di rumah akan membantu anak-anak mencapai potensi maksimum mengikut matlamat baharu kurikulum ini. Bersama-sama, kita membentuk generasi yang lebih yakin, kreatif, sihat dan bersedia menghadapi masa depan.

Team MyBistari sudah tiba di lokasi kursus.

Duduk dalam hall dulu sementara menunggu kaunter pendaftaran dibuka.

Barisan jurulatih kursus.

Tugasan pertama lengkapkan bingo, cari orang yang ada ciri yang diberikan.

Wah! Tahniah Cikgu Intan Syafiqah dan Cikgu Faridah selesaikan bingo yang paling banyak.

Penuh hall pengusaha dan guru tadika daerah Pasir Gudang berkumpul.


Pn Zainun dilantik sebagai penghuluwati kursus dan penolongnya Pn Wani dari Tadika Agama Johor.
Tak perlu disangkal lagi dengan lantikan ini, kerana Pn Zainun juga merupakan Pengerusi
Taskforce Tadika-Tadika Swasta Pasir Gudang di bawah seliaan Unit Swasta PPD Pasir Gudang.


Berpecahlah kami mengikut undian kumpulan yang dicabut.

3 orang wakil MyBistari dalam satu kumpulan.

Cikgu Amira & Cikgu Intan Syafiqah juga dapat satu kumpulan yang sama.

Bangga semua kraft belon menjadi.

Trademark kumpulan yang diwakili oleh Cikgu Najwa.

Masa yang sangat singkat 20 minit sahaja untuk siapkan tangram mini zoo.

Jurulatih menunjukkan contoh buku cerita yang praktikal untuk murid tadika.

Pengacara Majlis wakil dari MyBistari untuk Majlis Penutup kursus.

Kata-kata aluan dari penghuluwati kursus Pn Zainun.

Ucapan perasmian dari Encik Abd Halim 
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Sekolah)
Pasir Gudang.

Bonding malam terakhir di Melaka. Terima kasih Pn Zainun.

Perjalanan ke Melaka ini mungkin hanya berlangsung tiga hari, namun ilmu, pengalaman dan kesedaran yang kami bawa pulang akan terus hidup dalam setiap bilik darjah MyBistari. Kursus Penataran Kurikulum Prasekolah 2026 menjadi titik tolak kepada perubahan besar — bukan sekadar perubahan silibus, tetapi perubahan cara kami mendidik dengan lebih berjiwa, berfokus dan bererti.

Kami di MyBistari percaya, setiap perubahan adalah peluang untuk menjadi lebih baik. Dengan ilmu yang diperoleh, sokongan padu guru-guru, pengurusan dan kerjasama ibu ayah, kami melangkah ke tahun 2026 dengan penuh keyakinan.

Inilah komitmen kami — terus belajar, terus berubah dan terus ke hadapan demi melahirkan si cilik hebat yang seimbang dari segi fizikal, emosi, mental dan kerohanian.


Sekian, terima kasih 🌹

FROM ZERO TO HERO

(Bersatu untuk Mendidik)

~Cikgu Azreen~

0 comments:

Post a Comment

 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon