Thursday, June 4, 2026

MEMORI INDAH LAWATAN 5 TAHUN

Poster yang dikeluarkan oleh Fanpekka sempena kehadiran si cilik kami.

 

Sehari Penuh Gelak Tawa, Pengalaman & Memori Indah

Jumaat lalu, 15 Mei 2026 pastinya menjadi antara hari yang paling bermakna buat si cilik hebat 5 tahun apabila berlangsungnya program lawatan tahunan yang penuh dengan keseronokan dan pengalaman baharu. Seramai 193 orang murid bersama 36 orang guru pengiring dari 10 cawangan telah menyertai lawatan kali ini dengan menaiki 5 buah bas rombongan menuju ke Adda Height Town Park dan Fanpekka di AEON Mall Tebrau City

Seawal pagi lagi, wajah-wajah ceria si cilik hebat sudah cukup menggambarkan keterujaan mereka untuk memulakan pengembaraan bersama rakan-rakan dan guru tersayang. Gelak tawa memenuhi suasana sepanjang perjalanan dan pastinya setiap anak tidak sabar menanti aktiviti menarik yang telah dirancang.

Namun, seperti yang sering kita ungkapkan…
“Kita hanya mampu merancang, tetapi Allah S.W.T sebaik-baik perancang.” 🌧️

Perancangan asal kami adalah untuk membawa si cilik hebat beriadah sambil bersarapan di Adda Height Town Park. Namun, sementara menunggu semua rombongan tiba, cuaca mula berubah. Langit semakin gelap dan angin bertiup semakin kuat membuatkan kami perlu membuat keputusan segera demi keselamatan anak-anak.

Walaupun begitu, si cilik hebat dari TH Pintar & TH Minda sempat merasai suasana di taman tersebut kerana bas mereka tiba lebih awal. Melihat keadaan cuaca yang semakin tidak menentu, kami mengambil keputusan untuk menukar lokasi sarapan ke Masjid Sultan Iskandar.

Alhamdulillah, Allah mudahkan segala urusan kami. Pihak pengurusan masjid memberikan keizinan untuk murid-murid berkumpul dan menikmati sarapan di ruangan masjid. Guru-guru pengiring bertungkus-lumus mengatur murid turun dari bas, beratur membuka kasut dan masuk dengan tertib ke dalam kawasan masjid.

Bekalan sarapan yang disediakan untuk si cilik hebat ialah nasi goreng cina bersama nugget. Selain itu, anak-anak juga dibekalkan roti, biskut, wafer dan air mineral supaya mereka kekal bertenaga sepanjang lawatan berlangsung. 

Usai menjamu selera, si cilik hebat kembali bersiap-siap menaiki bas untuk meneruskan perjalanan ke Fanpekka di AEON Mall Tebrau.

Sebaik sahaja tiba, kami disambut dengan begitu mesra oleh staf-staf Fanpekka yang sangat ceria dan peramah. Layanan yang diberikan memang terbaik! Malah, pihak Fanpekka turut menutup indoor playground sehingga jam 12 tengah hari khas untuk si cilik hebat kami bermain dengan selesa dan menikmati setiap aktiviti yang disediakan. 

Program dimulakan dengan persembahan menarik daripada staf-staf Fanpekka yang berjaya menceriakan suasana. Kehadiran istimewa maskot Fanpekka iaitu Tontty juga membuat kemunculan khas untuk menghiburkan anak-anak. Pastinya si cilik hebat sangat seronok apabila dapat melihat dan berinteraksi bersama Tontty secara dekat. 

Selepas selesai slot persembahan, anak-anak dibawa untuk sesi bergambar kenangan bersama rakan-rakan, guru dan juga Tontty. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang merakam momen indah sepanjang lawatan ini.

Selesai sesi bergambar, bermulalah waktu yang paling ditunggu-tunggu oleh si cilik hebat iaitu sesi bebas bermain dengan pantauan guru-guru bertugas. Bermacam-macam aktiviti yang mereka explore di sini. Ada yang mencuba rock climbing, flying fox, bermain gelongsor dan ada juga yang seronok melakukan aktiviti roleplay seperti menjual makanan, aiskrim dan bunga. Tidak kurang juga yang begitu teruja menjadi “abang bomba” lengkap dengan gaya masing-masing. 

Melihat kegembiraan mereka bermain bersama rakan-rakan benar-benar membuatkan hati guru-guru turut gembira. Gelak tawa dan wajah ceria anak-anak menjadi hadiah paling bermakna sepanjang program berlangsung.

Namun, apabila tiba waktu untuk pulang, masing-masing sudah mula keletihan. Ada yang berjalan sambil mata layu, ada juga yang berdukung dengan cikgu kerana terlalu penat untuk berjalan ke bas. Begitulah ragam si cilik hebat setelah seharian penuh dengan aktiviti dan keseronokan bersama rakan-rakan dan guru tersayang. 


Ceria pagi-pagi nak pergi lawatan. (TH Intelek)

Bergambar dulu sebelum bas sampai. (TH Bijaksana)

Bas dah sampai jom beratu, baca doa naik kenderaan dulu. (TH Cemerlang)


Beratur mengikut giliran untuk menaiki bas. (TH Cemerlang)


Pengalaman pertama naik bas ke tu? (TH Bijaksana)

Pagi-pagi semua muka ceria, kita tengok balik nanti macam mana? Hihi (TH Jaya)


Penyelamat ketika cuaca mendung.
Terima kasih pihak pegurusan masjid membenarkan si ciik hebat kami menjamu selera di sini.

Cikgu bila boleh makan ni?

Sebelum makan kita baca doa dahulu.

Jom makan.

Yeahh dah sampai Aeon Mall.

Lif dipenuhi dengan si cilik hebat dan staf MyBistari.


Sebelum masuk Fanpekka, kita beratur dahulu.

Show time bersama tontti!

Cikgu tengok ni, saya dapat hadiah.

Wah! ada aktiviti passing ball la.

Sebelum kita explore Fanpekka, Jom bergambar dahulu bersama Tontti.

Bagi laluan, Bomba nak lalu ni.

Seronoknya bermain truck bersama kawan-kawan.

Wah! Syoknya naik gelongsor besar.

Kira keuntungan ke tu? Hihihi

Cikgu nak beli aiskrim coklat satu.

Ada port permainan baru di Fanpekka.

Susun jangan tak susun.

Hati-hati panjat tu, nanti jatuh.

Busy masing-masing nak hidang makanan.


Chef hotel mana ni? Hihihi

Masak apa tu?

Seronoknya hari ini!

Jom balik!

Kepenatan sudah!

Masing-masing bateri dah habis. Hihihi

Walaupun penat, pastinya setiap momen sepanjang lawatan ini menjadi pengalaman yang sangat berharga buat mereka. Banyak kenangan manis yang tercipta, banyak cerita yang pasti dibawa pulang untuk dikongsi bersama ibu dan ayah di rumah.

Terima kasih kepada semua ibu ayah yang telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk membawa si manja berjalan dan mencipta pengalaman indah bersama. 

Sekian, terima kasih.🌹

FROM ZERO TO HERO

(Bersatu untuk Mendidik)

~Cikgu Azreen~


Monday, May 11, 2026

PENILAIAN BUKAN SEKADAR KEPUTUSAN



Ibu ayah yang berdebar bila anak ada penilaian.


Pejam celik, pejam celik… sekejap sahaja sudah melangkah ke bulan Mei. Bermula 5 hingga 8 Mei 2026 (Selasa hingga Jumaat), telah berlangsungnya Penilaian Pertengahan Tahun di MyBistari yang melibatkan murid-murid 5 dan 6 tahun.

Penilaian ini bukanlah ukuran siapa teratas dan siapa terbawah. Sebaliknya, ia dijalankan bagi melihat pencapaian serta tahap kefahaman si cilik hebat sepanjang mengikuti sesi PdP di tadika selama satu semester.

Bagi murid 5 tahun, inilah pengalaman pertama mereka menjalani penilaian tanpa bantuan jawapan daripada guru. Semuanya perlu dijawab sendiri oleh si cilik hebat. Guru hanya memantau, membaca serta menerangkan kehendak soalan kepada anak-anak.

Sepanjang penilaian berlangsung, pelbagai ragam dan gelagat si cilik hebat dapat dilihat. Ada yang termenung memikirkan jawapan, ada yang setia menunggu guru memberi jawapan (Oppss...tapi maaf cikgu tak boleh bagi jawapan), ada yang fokus menjawab dengan penuh yakin dan ada juga yang mengalirkan air mata kerana gementar. Semua ini adalah pengalaman berharga dalam proses pembelajaran mereka.

Bagi murid 6 tahun pula, mereka sudah semakin biasa dengan suasana dan kertas-kertas soalan. Oleh itu, penilaian ini bukan lagi satu permasalahan besar buat mereka. Anak-anak ini dilihat lebih yakin dan bersedia untuk menjawab setiap tugasan yang diberikan.

Semoga semua si cilik hebat memperoleh keputusan yang cemerlang dan terus bersemangat untuk belajar. Kepada ibu ayah, jangan lupa janji temu kita pada 4 Jun 2026 sempena Hari Temu Mesra Ibu Bapa dan Guru bagi membincangkan perkembangan anak-anak tersayang.

Terima kasih atas sokongan dan kerjasama semua ibu bapa dalam memastikan perjalanan pembelajaran anak-anak sentiasa berjalan dengan baik. 🌸


Baca doa sebelum mulakan penilaian. (TH Intelek)

Cikgu saya dah siap tulis nama. (TH Intelek)

Berhati-hati guru bertugas menyemak nama yang ditulis oleh murid sebelum menanda. (TH Intelek)

Nama kelas tulis yang ini ya. (TH Intelek)

Selamat menjawab soalan semua. (TH Bijaksana)

Si cilik hebat memang sudah dilatih untuk tulis nama sendiri.
Jadi tiada masalah untuk murid menulis nama ketika peperiksaan berlangsung. (TH Bijaksana)

Cikgu perhati je tu. Tak bagi jawapan pun. (TH Bijaksana)

Angkat tangan bila sudah siap tulis nama dan kelas. (TH Genius)

Fokus menjawab. (TH Genius)

Pastikan muka surat tidak sama dengan kawan sebelah. (TH Genius)

Aduh, pening nak pilih jawapan yang mana satu! (TH Inovasi)

Siapa yang tak faham soalan boleh angkat tangan. (TH Inovasi)

Tahap 6 Bistari nama penuh ditulis pada kertas soalan. (TH Inovasi)

Jauh termenung, tengah fikir macam mana nak dapatkan jawapan ke? (TH Jaya)

Dah siap pastikan semak dahulu jawapannya. (TH Jaya)

Sempat tegur cikgu suruh ambil gambar, mewarna tu tak siap lagi. (TH Jaya)

Tunjuk soalan, ikut cikgu baca dahulu ya. (TH Ilmu)

Garis tegak-tagak tau. (TH Ilmu)


Guru bertugas memerhati jawapan yang dibuat betul ke salah? (TH Ilmu)

Suasa peperiksaan di Tadika Hebat Minda.

Tengok apa kat depan tu, ada jawapan ke? Hihihi (TH Minda)

Hari terakhir peperiksaan sempoa. (TH Pintar)
Nampak mudah je soalannya, tetapi jika salah gerakkan manik, jawapan pun boleh jadi salah.

Jawab dengan teliti jangan terburu-buru. (TH Pintar)

Ada masa lagi ni, Jom ulangkaji worksheet dulu. (TH Cemerlang)

Selagi loceng belum dibunyikan sempat lagi untuk anak-anak membuat ulangkaji. (TH Cemerlang)

Bila loceng sudah berbunyi, semua bag dan buku perlu disimpan
dan diletakkan dibelakang kelas. (TH Cemerlang)

Minggu peperiksaan, sunyi sahaja kelas di TH Kreatif.

Guru bertugas memantau sambil memerhati. (TH Kreatif)

Sebagai penutup, owh ya sebelum terlupa, ibu ayah juga boleh menyemak keputusan penilaian anak-anak melalui aplikasi SMAP bermula 3 Jun 2026 (Rabu). Namun, untuk mengetahui kedudukan anak di dalam kelas, ibu ayah boleh hadir ke tadika pada Hari Temu Mesra nanti.

Apa jua keputusan yang diperoleh, semoga ibu ayah sentiasa menghargai setiap usaha dan pencapaian si manja. Tidak kira sama ada keputusan mereka cemerlang atau masih perlu dipertingkatkan, pujian, pelukan dan kata-kata semangat daripada ibu ayah sangat bermakna buat si cilik hebat.

Ingatlah, dunia tadika hanyalah langkah pertama dalam perjalanan panjang mereka untuk belajar, mengenal potensi diri dan melakar kejayaan pada masa hadapan. Setiap anak berkembang dengan cara dan waktunya yang tersendiri. Yang paling penting, mereka terus berani mencuba, yakin dengan diri sendiri dan gembira dalam proses pembelajaran. 🌸

Sekian, terima kasih 🌹

FROM ZERO TO HERO

(Bersatu Untuk Mendidik)


~Cikgu Azreen~

 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon