Friday, February 13, 2026

ILMU UNTUK IBUAYAH, MASA DEPAN UNTUK ANAK!

Seawal pagi ibu-ibu sudah hadir untuk mendaftar kehadiran.

Program Keibubapaan dan Teknik Pengajaran Bacalah Anakku telah berlangsung dengan jayanya pada 25, 31 Januari dan 8 Februari 2026, khusus untuk ibu ayah murid 5 tahun serta ibu ayah murid baru 6 tahun. Program ini diadakan di Dewan Al-Fateh, MyBistari Legacy dalam suasana yang kondusif, penuh fokus dan sarat dengan perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat. Kehadiran ibu ayah menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha memahami peranan mereka dalam menyokong perkembangan pembelajaran anak-anak di rumah.

Slot pertama merupakan sesi parenting bersama Cikgu Tamizi yang membawakan tajuk “Algoritma Ancaman Tersembunyi Bagi Keperibadian Anak.” Perkongsian ini membuka mata ibu ayah tentang perkara-perkara halus yang boleh mempengaruhi pembentukan sahsiah anak, sama ada dari aspek emosi, persekitaran mahupun cara komunikasi harian. Banyak situasi yang dikongsikan sangat dekat dengan realiti kehidupan keluarga, sekali gus memberi kesedaran bahawa didikan bukan hanya pada arahan, tetapi pada pendekatan dan suasana yang dibina di rumah.

Slot kedua pula memfokuskan kepada Teknik Pengajaran Bacalah Anakku yang dibimbing oleh Cikgu Norafizah Salleh untuk buku 1 hingga 5, manakala buku 6 hingga 8 dibimbing oleh Cikgu Suhaila. Dalam sesi ini, ibu ayah didedahkan dengan teknik sebutan yang betul, cara membimbing anak membaca tanpa tekanan, serta langkah demi langkah penggunaan buku mengikut tahap. Ibu ayah juga dapat melihat bahawa proses mengajar membaca memerlukan teknik yang betul supaya anak lebih mudah faham dan kekal berminat untuk belajar.

Semoga ibu ayah yang hadir dapat memanfaatkan segala ilmu yang dikongsikan dan dapat membimbing anak-anak membaca dengan cara yang betul, tenang dan menyeronokkan di rumah. Apabila pihak sekolah dan ibu ayah bergerak seiring, insyaAllah anak-anak akan lebih yakin, bersedia dan cemerlang dalam perjalanan pembelajaran mereka.

Batch 1-full house dewan.

Batch 2 juga penuh dewan. Terima kasih ibu ayah.

Petugas kaunter pendaftaran batch ke 3 program.

Ibu-ibu sporting.

Soalan apa yang ditanya oleh Puan Suhaila tu?

Carta sukukata yang digunakan di dalam kelas.

Puan Zainun sempat berkongsi ilmu dengan ibu-ibu sewaktu rehat.

Ruang pameran testimoni buku murid juga disediakan untuk ibu bapa lihat dengan
lebih dekat hasil kerja murid.

Cikgu Tamizi sempat meluangkan masa beramah mesra dengan bapa-bapa yang hadir.

Fokus-fokus.

Waktu rehat makanan disediakan.

Q & A bersama Puan Zainun.

Cenderahati penghargaan oleh Puan Zainun kepada Puan Suhaila.

Cenderahati penghargaan Puan Zainun kepada Puan Norafizah.

Barisan guru juga hadir untuk menambah ilmu.

Sebagai penutup, program ini membuktikan bahawa kejayaan anak-anak bukan hanya bergantung kepada usaha di sekolah semata-mata, tetapi turut memerlukan sokongan dan kefahaman yang jelas daripada ibu ayah di rumah. Apabila ibu ayah melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan dan teknik pengajaran yang betul, proses membimbing anak menjadi lebih terarah, tenang dan berkesan.

Semoga segala perkongsian yang diterima sepanjang program ini menjadi panduan yang berterusan dalam mendidik dan membentuk keperibadian anak-anak. Dengan kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu ayah, InsyaAllah anak-anak akan membesar sebagai generasi yang berilmu, berakhlak dan cemerlang dalam setiap langkah kehidupan mereka.

Sekian, terima kasih.🌹

FROM ZERO TO HERO

(Bersatu untuk Mendidik)

~Cikgu Azreen~

0 comments:

Post a Comment

 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon