Tuesday, March 1, 2022

PECUTAN AKHIR 2021

 

Ujian sedang dijalankan di Tadika Minda Pintar Bestari.

“Jalan kebenaran selalu dimulai dengan cubaan dan kesengsaraan. Kemudian datanglah masa kesabaran dan tawakkal kepada Allah swt. Dan berakhir dengan pencerahan, bimbingan dan kemenangan.” Ibni Qayyim.

Berat dan terpukul. Itu yang kami rasakan bila seorang demi seorang guru-guru kami dijangkiti Covid19. Subhanallah, ujian kali ini agak berat bagi kami, kerana di bahagian pengurusan ramai yang terpaksa dikuarantinkan, baik yang positif mahupun yang menjadi kontak rapat. Dalam pada itu, tetap juga memikirkan keadaan guru-guru dan anak-anak murid kami di setiap tadika.  Seperti yang kami nyatakan di blog terdahulu, Pertandingan Uji Minda, Lego dan Speed Cups terpaksa kami batalkan. Ekoran dari itu juga, ada beberapa tadika kami yang kami rehatkan dulu operasinya untuk beberapa hari. Tetapi Alhamdulillah, Allah memang sangat baik. Walaupun dugaan yang diberi ini berat, tetap juga Allah hadirkan orang-orang yang membantu kami. Terima kasih kami ucapkan kepada para ibu bapa yang sangat memberi kerjasama kepada kami di sepanjang beberapa minggu yang lepas dengan mengisi borang kesihatan dan tidak menghantar anak-anak ke tadika apabila bergejala. Nampak mudah, tetapi kerjasama yang sebegini, besar nilainya kepada kami kerana membantu kami mengekang penularan Covid19 di kalangan warga MyBistari. Bagi para ibu bapa, penjaga, anak-anak murid dan juga tenaga kerja MyBistari yang dijangkiti, semoga kembali sembuh dan dipermudahkan segalanya.

Walaupun ada agenda yang terpaksa kami batalkan, tetapi ada juga yang tetap kami jalankan demi untuk menilai dan menguji sejauh mana pemahaman dan ilmu diperoleh oleh murid sepanjang tahun 2021 yang lalu. Ujian Penilaian Akhir bagi K1 dan juga K2 tetap kami jalankan pada 16hb Februari yang lalu. Bagi cawangan TPB Taman Mawar, kami anjakkan ke 17hb Februari kerana tadika baru sahaja dibuka semula selepas dinasihatkan tutup oleh pihak KKM. Memikirkan jumlah murid yang dikuarantin dari hari ke sehari semakin bertambah, pihak kami telah mengambil inisiatif untuk mengadakan ujian penilaian secara online untuk murid-murid yang terlibat sahaja. Itupun di atas persetujuan ibu bapa, jika tidak mahu kerana masalah tiada yang dapat memantau sepanjang ujian dijalankan, maka kertas ujian itu akan diberi sebagai worksheet sahaja kepada murid terbabit. Sekali lagi para ibu bapa memberikan tindakbalas yang positif dengan menyambut baik inisiatif kami. Biarlah terasa sedikit penat sepanjang proses merealisasikan ujian online ini, tetapi apabila melihat sokongan dan keterujaan para ibu bapa membuatkan kami lebih bersemangat untuk memberikan yang lebih baik di masa akan datang, Insyaallah.

Ujian secara online ini diadakan pada 17hb Februari oleh Cikgu Norafizah dan juga saya. Wah.. agak mencabar juga kerana sudah lama kami tidak mengendalikan ujian, apatah lagi ujian secara online, bagi saya secara personal yang sudah hampir sembilan tahun tidak mengajar dan mengendalikan ujian, teruja dan takut juga dibuatnya. Bukan sekadar murid-murid sahaja yang membuat ulangkaji, kami juga turut membawa balik kertas ujian untuk kami baca dan fahami kehendak soalan.

Maaf, sepatutnya blog ini dimuat naik di akhir bulan Februari, tetapi saya pula yang terpilih untuk menikmati rezeki positif Covid19, jadi blog berkenaan ujian ini terhenti separuh jalan. Walaupun agak lambat dikongsikan suasana sepanjang ujian dijalankan, kami tetap berharap ianya menjadi salah satu memori yang dikenang oleh anak-anak MyBISTARI GROUP.

Ulangkaji terakhir sebelum ujian bermula. (TS2)

Semoga dapat menjawab soalan dengan baik. (TS2)

Wah.. lajunya dia jawab. (TS1)

Suasana ujian di TPB Taman Scientex 1.

Kalau jarak jauh macam ni, memang tak perlu risau tentang jeling menjeling
jawapan rakan. (TNPB)

Tekun masing-masing menjawab soalan. (TNPB)

Cepat cikgu ambil gambar saya tengah fokus ni. (TMPB)

Kira apa ya tu? (TMPB)

Kalau dah siap, semak dahulu sebelum hantar. (TM)

Cuba tengok balik, betul tak tu ejaannya? (TM)

Cikgu, soalan ni macam mana ya? (TKM)

Alamak, betul tak ni saya eja ya? (TKM)

Kejap cikgu, saya nak tulis nama saya. (TIPB)

Ada yang sudah siap dan hantar kertas ujian. (TIPB)

Oooo... soalan ni nak kita bulatkan jawapan yang betul. (TIMB)

Ok cikgu, kami dah siap tulis nama dan kelas. (TIMB)

Kacang je soalan ni. (TIB)

Tiba-tiba saya keliru, betul tak jawapan saya ni ya? (TIB)

Proses penyediaan kertas ujian bagi murid-murid yang kuarantin.

Proses penghantaran ke rumah murid.

Sedia menanti arahan untuk membuka kertas ujian.

Ujian 5 Bistari sedang berlangsung.

Ujian online murid 6 tahun.

Kami kongsikan juga video berkenaan Ujian Penilaian Semester 2 2021.

Semasa blog ini disiapkan kami telahpun menerima kemasukan murid-murid baru sesi 2022/23. Hari ini adalah hari kedua pra tadika di semua tadika di bawah MyBISTARI GROUP. Hari ini juga merupakan hari pertama pembayaran dan pengambilan keperluan 2022/23. Semoga dipermudahkan segala urusan kita.

~Cikgu Norifah~























 

0 comments:

Post a Comment

 

MyBISTARI GROUP Published @ 2014 by Ipietoon