Bismillahirrahmanirrahim.
Jangan hampakan harapan mereka. |
“Tiada kekuatan dan daya melainkan dari Allah Yang Maha
Tinggi lagi Maha Mulia.”
Seperti yang dijangkakan, arahan PKP diteruskan lagi untuk
fasa yang ketiga. Ada yang mula mengeluh dan ramai yang sebenarnya tak senang
duduk. Mana taknya, sudah sebulan duduk di rumah hinggakan ada guru kami yang
mengadu sudah lupa cara untuk memandu kereta manual.
Setiap hari bila masuk jam 5 petang, hati sentiasa
berdebar-debar menanti lintas langsung dari Dr Noorhisham Abdullah berkenaan
info Covid-19, tak kurang juga debarnya ketika tengahari bila wajah Dato’ Sri
Ismail Sabri muncul di kaca televisyen. Sedih dan terkilan apabila mendapat
tahu bilangan yang ingkar kepada arahan PKP semakin bertambah walaupun jumlah
mereka yang dijangkiti semakin berkurangan dan yang telah sembuh dari Covid-19
semakin bertambah.
Hanya kerana virus ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar
dan kesannya tidak akan nampak sehingga 14 hari, ramai yang merasakan perkara
ini tidak seserius yang dikhabarkan. Yang penting imun badan kuat dan
rajin-rajin ambil vitamin C, satu pemahaman yang salah. Ya, mungkin kita ‘kebal’
dari jangkitan virus ini, tanpa kita sedar sebenarnya kita adalah ejen yang
menyebarkannya ke orang sekeliling dan lebih menakutkan ke ahli keluarga yang
sebumbung dengan kita.
Setiap kali keluar untuk membeli barang-barang keperluan,
rasanya seperti dihantar berperang. Walaupun segala langkah-langkah keselamatan
telah diambil, bertopeng dan hand sanitizer tersedia di dalam kereta, tetap
sikap sesetengah orang di luar sana yang merisaukan. Sangat sukar bagi mereka
untuk mengamalkan social distance. Bila ditegur, ada yang membalas, “Ala.. tak
apa, virus tak sampai sini.” Bersangka baik, mungkin dirumahnya tiada
televisyen, jadi dia tidak tahu, ada kluster di Pasir Gudang, dan jumlah yang
terjangkiti setakat ini 15 orang. Dalam situasi begini, hashtag kita jaga kita
tak boleh digunapakai, hanya kepadaNyalah tempat kita bergantung harap. Jadi
jangan lupa, setiap kali hendak keluar rumah untuk urusan-urusan penting,
selain dari persediaan yang lengkap, mintalah pertolongan dari Allah agar
memelihara kita sepanjang waktu pergi, ketika berurusan, dan balik ke rumah.
Bagi kami yang berada di dalam bidang pendidikan, impaknya
sangat besar. Walaupun mungkin keadaan terkawal dan PKP dihentikan, kita masih
tidak tahu bila tadika boleh dibuka semula. Sememangnya kami gembira bila dapat
bervideo call dengan anak-anak murid sepanjang PKP ini, tetapi dalam masa yang
sama turut berasa sedih bila ada yang menangis kerana rindukan guru dan
rakan-rakan, ada yang memakai baju sekolah dan baju senaman untuk hilangkan rindu,
dan ada yang bertanya bila boleh dapat ke tadika semula.
Oleh itu, kami terpanggil untuk mengajak anak-anak murid
kami memberi pesanan dan nasihat berkenaan Covid-19. Bersemangat masing-masing cuba untuk menghasilkan kerja yang terbaik. Ditanya kenapa begitu bersungguh-sungguh sekali? Jawapan mereka adalah, "Kami sayangkan tadika kami." Siapa tahu mungkin dengan teguran anak-anak kecil ini ada yang terbuka hati untuk lebih peka dan bertanggungjawab.
Gambar semasa dan selepas mewarna. |
Ya, kami semua sayangkan tadika kami. |
Masing-masing tersenyum bangga dengan hasil mereka. |
Cantiknya. |
Kami dah jalankan tugas kami, anda bila lagi? |
Tekun mewarna. |
Ok, lagi sikit je nak warnakan dinding rumah saya ni. |
Ish..ish.. geram saya yang suka jalan-jalan kat luar tanpa urusan penting. |
Minta dipakaikan baju senaman kerana terlalu rindu. |
Ada yang pakai uniform tadika semasa rekod bacaan diambil. |
Bila dah tak tertahan lagi rindu... |
Kami kongsikan video himpunan gambar dan rakaman anak-anak ini ya.
Mari kita bersama-sama menjadi lebih peka dan sensitif dalam menangani masalah ini. Lebih-lebih lagi tinggal kurang dari seminggu sahaja kita akan menyambut bulan Ramadhan. Jaga jarak kita, tak perlu keluar rumah jika tiada perkara penting, sentiasa amalkan kebersihan diri, perbanyakkan zikir dan selawat, manfaatkan masa bersama keluarga, dan jangan boros berbelanja.
Jom ajar anak-anak niat berpuasa dan doa berbuka puasa!
~Cikgu Norifah~
0 comments:
Post a Comment